peringatan

semua hasil penulisan di blog iamhananorisa.com adalah hak milik penulis kecuali dinyatakan sebaliknya.

semua karya iamhananorisa.com yang dipaparkan di blog ini adalah hak milik sepenuhnya Hana Norisa dan syarikat penerbitan. Karya-karya ini dilindungi di bawah Akta Hak Cipta Malaysia.

Hana Norisa dan syarikat penerbitan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang cuba plagiat/copy paste/yang seumpama dengannya.


pihak iamhananorisa.com sentiasa berusaha untuk menghormati hak milik dan hak cipta orang lain, ini termasuk bahan-bahan seperti artikel, gambar, muzik, video atau bahan-bahan lain yang digunakan dalam artikel-artikel atau bahagian dalam laman ini. Sekiranya terdapat sebarang masalah atau pertanyaan mengenai perkara ini, pihak anda boleh hubungi iamhananorisa.com.

[MY BOOK] BAB 1 PASTI ADA KAMU

Blog post description.

PASTI ADA KAMU

Hana Norisa

8 min read

PINTU masuk Kafe Triple C ditarik dari luar. Dia melangkah masuk sambil meliarkan pandangan ke seluruh pelosok kafe. Dia tercari-cari orang yang sepatutnya dia jumpa.

“Dia pakai baju kemeja warna merah.” Suara seorang wanita kedengaran di sebalik airpod milik si gadis.

Mendengarkan butiran si pemanggil, matanya semakin ligat mencari figura yang digambarkan. Bila sahaja mata menangkap kelibat yang dimaksudkan, dia berhenti melangkah. “Jumpa.”

Bagus. Aku harap ini adalah blind date yang terakhir untuk kau,” ujar si pemanggil yang dikenali sebagai Alysa. Dia mahu Yasmin bertemu jodoh secepat mungkin. Umur mereka hampir menginjak 30 tahun, namun sahabat baiknya itu masih menyendiri.

Yasmin mengukir senyum, sinis. Ikutkan hati, dia tidak mahu terlibat dalam sesi blind date seperti ini. Dia bukan jenis yang suka berjumpa dengan orang yang tidak dikenali. Kalau bukan kerana permintaan Alysa, dia memang tidak akan bersetuju.

“Kita tengoklah macam mana. Aku letak panggilan dulu. Bye.” Jari telunjuk Yasmin mengetuk permukaan airpod yang terselindung di sebalik tudung sebanyak dua kali, sekali gus mematikan panggilan.

Yasmin membetulkan pakaiannya. Untuk pertemuan hari itu, Alysa menjadi perancang dalam menentukan tatarias penampilannya. Alysa mencadangkan agar dia mengenakan sepasang blaus biru dan dipadankan dengan kain bercorak pleated, menjadikan gadis berhijab sepertinya kelihatan bergaya dan trendy.

Yakin dengan penampilannya, Yasmin melangkah mendekati lelaki itu dari arah belakang. “Encik Shahrul?”

Lelaki yang memakai kemeja merah itu berpaling. Melihatkan wajah Yasmin, lelaki itu tersenyum. Dia mempersilakan Yasmin untuk duduk berhadapan dengannya.

Yasmin meletakkan tas tangan di tepi kerusi seraya melabuhkan punggung. Telefon pintar miliknya dibiarkan dalam tas tangan. Getaran yang terhasil melalui airpod menandakan ada seseorang sedang memanggilnya, tidak diendahkan. Airpod itu ditanggal lalu dicampakkan ke dalam tas.

“Minum?” soal Shahrul. Tangannya laju melambai ke arah seorang pekerja di kafe itu.

Tidak sampai beberapa saat, pekerja kafe itu menghampiri mereka. Sebuah buku menu diserahkan kepada Yasmin.

Chocolate cream chip and blackforest cake. Terima kasih.” Yasmin menyerahkan kembali buku menu tersebut. Hilang sahaja kelibat pelayan tersebut, pandangannya kembali ke arah Shahrul.

“Encik Shahrul, kita pernah berjumpa ke?” soal Yasmin, tanpa mukadimah. Dia tidak suka berbasa-basi. Dia bersetuju untuk pertemuan itu pun kerana Alysa, teman baiknya. Jejaka itu pula merupakan bekas teman sekerja Alysa sebelum wanita itu nekad menjadi suri rumah.

Shahrul tersenyum. “Kau sihat? Macam mana kehidupan sekarang? Okey?”

Yasmin memaksa bibir mengukir senyuman. “Alysa kata kita pernah berjumpa. Kat mana kita berjumpa?”

Shahrul tersenyum sinis. Dia menyisip kopi yang dipesan. “Betullah apa yang dia kata. Kau seorang yang straight to the point.”

Yasmin mengerut dahi. Kata-kata Shahrul membuatkan dia tertanya-tanya. “Aku tak faham. Boleh jelaskan?”

“Aku tak faham macam mana orang macam kau boleh teruskan hidup selepas membuli orang. Orang yang dibuli tertekan sampai gila, kau boleh bersiap untuk menghadiri blind date!” Shahrul masih dengan senyuman sinis.

Dahi Yasmin berkerut.

“Kau ada Ian, ada Dzarif. Kenapa nak blind date lagi? Kenapa tak kahwin dengan salah seorang daripada mereka?” Shahrul memprovokasi.

“Kejap!” Yasmin cepat-cepat menghentikan kenyataan Shahrul. Riaknya berubah bila nama Sufian dan Dzarif disebut. “Kau siapa nak mempersoalkan semua ni?”

“Kau tak perlu tahu siapa aku. Orang yang membuli, dia takkan ingat kepada orang yang dibuli. Cuma, orang yang dibuli saja akan ingat si pembuli.”

Yasmin mendengus. Dia berang bila dirinya dipersalahkan atas sesuatu yang dia tidak lakukan. “Kau nak apa? Aku ingat, kau nak jumpa aku sebab nak berkenalan dengan aku. Sekarang dengan topik ni, kau nak apa sebenarnya?”

Shahrul tersenyum, penuh makna. “Aku tertanya-tanya apa yang mereka berdua buat sekarang ni. Mesti masih sama, kan? Kalau dulu suka membuli, sekarang mesti suka memijak kepala orang yang tak setaraf dengan mereka, kan?”

Look!” Yasmin menghentak kedua-dua telapak tangannya di permukaan meja. Dia terbangun sedikit menyebabkan kerusi yang didudukinya tertolak ke belakang.

“Yang membawa masalah dekat kau ialah, Ian dan Dzarif. Bukan aku. Hanya kerana aku kawan mereka, itu tak bermakna aku macam mereka. Aku ada buli kau? Kalau kau ada masalah dengan mereka, cari mereka. Bukan aku!” Yasmin bertegas.

“Kau boleh halang mereka daripada membuli. Tapi apa yang kau buat? Kau diam dan pergi macam tu aje. Dia percayakan kau dan apa yang kau buat?” luah Shahrul. Dia masih menyalahkan Yasmin.

“Dia? Siapa dia?” soal Yasmin. Dia masih berdiri.

Shahrul ketawa sinis. “Aku dengar, kau bekerja di Yusaira Publication. Syarikat milik Datuk Meor, bapa Ian. Dan, bos kau ialah Dzarif...”

“Cukup!” Yasmin mula hilang sabar. Sudahlah jejaka itu menuduhnya bersubahat membuli, sekarang lelaki itu berani menyiasat tentang kehidupannya.

“Aku nak blah. Aku tak nak buang masa dekat sini.” Yasmin mengambil tas tangan.

Shahrul menangkap pergelangan tangan Yasmin. “Hei, takkan dah hilang sabar?”

Yasmin mengetap bibir. Dia merentap kembali tangannya. “Kau nak apa daripada aku?”

Shahrul bangkit daripada duduk. Niatnya untuk berjumpa dengan Yasmin bukan untuk berkenalan dengan gadis itu.

“Sebab mereka, kami kehilangan dia. Sebab itu, aku akan pastikan mereka terima balasan yang setimpal. Ingat tu!” Shahrul sempat mengugut. Setelah menghabiskan kata-katanya, dia beredar dari situ.

Yasmin terduduk. Matanya mengekori langkah Shahrul. Dia tidak ingat apa yang pernah dia lakukan kepada jejaka itu. Dia yakin, Shahrul berdendam dengannya kerana Sufian dan Dzarif. Kerana perbuatan dua sahabatnya itu, dia yang selalu dipersalahkan.

Deringan telefon mengalihkan perhatiannya. Laju dia menyelongkar tas tangan. Bila dia tidak dapat mencari telefon pintarnya, dia pantas mengeluarkan segala isi tas. Getaran yang terhasil menunjukkan telefon pintarnya terselit di celahan poket tas tangan.

“Kak, kau kat mana? Kita ada kecemasan ni. Novel yang bakal diedarkan tak lama lagi, diplagiat!” Kedengaran suara cemas Suria, pelatih di jabatannya di sebalik talian.

Mata Yasmin terbeliak luas. Dia mengerling ke pergelangan tangan. Jam menunjukkan pukul 12.30 tengah hari. Satu keluhan terbit daripada mulutnya. Selepas satu masalah, datang pula masalah yang baru. “Lagi lima belas minit, aku sampai.”

Yasmin pantas memasukkan semula barangan miliknya ke dalam tas. Dia perlu beredar ke Yusaira Publication secepat mungkin. Tanpa dia sedari, dia tertinggal buku bacaannya ketika itu.

ABANG, CEPATLAH.” Laungan seseorang menarik perhatiannya. Baju yang sedikit basah itu, dibelek. Dia mempercepatkan langkah menuju ke arah gadis itu. Sempat dia mengerling ke arah tempat duduk di belakang tempat duduknya. Sebentar tadi, ada sepasang kekasih sedang bertengkar di situ.

Pagi itu, dia harus bertemu dengan anak saudara pembantu datuknya, Yoo-Jin. Tidak lama lagi, Yoo-Jin bakal menamatkan zaman bujangnya. Jadi, mereka merancang untuk keluar membeli-belah bersama-sama. Sedang berehat sambil berbual, tumpuan mereka terganggu bila suara pasangan itu meninggi.

Bunyi hentakan meja pasangan itu menarik perhatiannya untuk mencuri dengar. Baru mahu mencuri dengar, kerusinya tertolak dari arah belakang. Air yang mahu disisip tertumpah pada baju. Satu nama yang meniti di bibir jejaka itu membuatkan dia tidak jadi beredar. Bila jejaka itu sudah pergi, barulah dia bangkit untuk mencuci kotoran tersebut.

“Abang, cepatlah.” Gadis itu masih menjerit memanggil namanya.

“Hanna, tak baik menjerit macam tu. Kat sini, mereka semua tak menjerit di hadapan orang ramai,” tegur Yoo-Jin. Walaupun dia berasal dari negara yang sama dengan kedua-dua beradik itu, dia sudah biasa dengan budaya di Malaysia.

Hanna mendengus. Pandangannya kembali teralih ke arah Yoo-Jin. “Abang Noah tu lambat sangat.”

Yoo-Jin menggeleng kecil.

“Lepas ni kita nak ke mana? Barang apa lagi yang kita nak cari?” soal Hanna. Matanya mengerling ke arah senarai barang yang berada di tangan Yoo-Jin.

“Tak banyak dah. Lepas ni, kita boleh balik. Yang lain, kita cari kemudian,” ujar Yoo-Jin. Senarai barangan miliknya disimpan ke dalam tas tangan.

“Kenapa tak cari semuanya hari ini?” Soalan Noah dari arah belakang membuatkan kedua-dua gadis itu tersentak. Perbualan mereka terbantut seketika.

Noah kembali mengambil tempatnya. Buku yang berada di tangan, diletakkan di atas meja.

Letters to God?” Hanna membaca tajuk buku yang dibawa Noah. “Abang ke tandas atau ke kedai buku?”

Noah diam. Buku itu dijumpainya tatkala dia melalui meja di belakangnya. Dia yakin buku itu milik gadis berhijab tadi. Mulanya, dia tidak mahu ambil peduli, namun tajuk buku itu menarik perhatiannya. Lantas, buku itu diambil.

KAWASAN PARKIR Wisma Berjaya, lengang. Mungkin kerana hari itu merupakan hari Sabtu. Termasuk Yusaira Publication, ada lebih daripada sepuluh syarikat yang memenuhi bangunan itu.

Yasmin keluar daripada lif di aras 7. Terbuka sahaja pintu lif, terpampang papan tanda Yusaira Publication pada pintu masuk. Yasmin mengeluarkan kad pekerja lalu mengimbasnya di mesin pengimbas. Selang beberapa saat, pintu utama terbuka. Lampu di ruangan menyambut tetamu sengaja dibiarkan tidak menyala.

Yasmin menguak pintu bilik mesyuarat untuk masuk. Riaknya berubah melihatkan bilik mesyuarat itu kosong. Yang tinggal hanyalah pasukannya, Aifah dan Suria.

“Mana yang lain?” soal Yasmin seraya mengambil tempat di hadapan Suria, pelatih di Jabatan Editorialnya. Dia sempat mengerling ke arah Aifah. Mata gadis itu basah dengan air mata. “Apa yang berlaku?”

“Baru saja bersurai. Keadaan tegang,” luah Suria. Dia mengeluarkan telefon pintarnya. Atas permintaan Yasmin, dia sempat merakam perbincangan tersebut.

Yasmin mengambil tempat di sebelah Suria. Telefon pintar Suria bertukar tangan. Keadaan jalan raya yang sesak membuatkan Yasmin tiba lewat di Yusaira Publication. Walaupun jarak di antara Kafe Triple C dan Wisma Berjaya cuma 15 minit perjalanan, kesesakan lalu lintas telah membuatkan perjalanan singkat itu menjadi panjang.

Yasmin segera menekan butang play. Dalam video itu, kelihatan Sufian sedang meluahkan kerisauannya.

Bunyi kuakan pintu bilik mesyuarat membuatkan pandangan Suria dan Aifah ternaik. Pandangan Yasmin masih tertumpu pada rakaman di telefon Suria.

“Aifah.” Dzarif memulakan perbualan. Dia sengaja menyuruh pasukannya untuk tidak berganjak dari bilik itu. Dia mahu berbincang dengan mereka. “Macam mana boleh jadi macam ni?”

Aifah kehilangan kata-kata. Suaranya bersisa serak. Sepanjang lima tahun dia bekerja sebagai line editor, ini adalah pertama kali dia berhadapan kes seperti itu.

“Aku tak tahu, Dzarif. Aku sendiri tak perasan ada beberapa baris yang sama dengan karya penulis veteran tu. Bila aku baca, ayat tu tiada kesalahan. Jadi, aku tak betulkan. Aku tak sangka pula bila tiada kesalahan itu disebabkan penulis plagiat karya orang,” ujar Aifah.

Dzarif melepaskan keluhan kecil. Sebelum ini, ada beberapa kali mereka berhadapan dengan kes cubaan plagiat namun kes itu dapat dikesan pada peringkat pemilihan manuskrip. Cuma kali ini, mereka berhadapan dengan kes peniruan perenggan dan babak. Sesuatu yang mereka tidak jangkakan.

“Aku betul-betul tak sangka hal macam ni boleh terjadi. Aku betul-betul minta maaf.” Aifah masih dihantui rasa bersalah. Dia yakin, dia akan dibuang kerja kerana kesilapannya.

Dzarif tersenyum, nipis. “Dahlah. Benda dah jadi. Ian pun akan hentikan cetakan. Kita patut bersyukur kita sedar sebelum pembaca dapat buku tu. Bayangkan apa yang kita kena hadapi kalau buku tu dah siap cetak?”

Aifah menghela nafas.

“Yas, Isnin nanti, aku nak kau hubungi penulis 1,2,3... I Miss You. Kita tanya dia pasal persamaan ini. Sengaja atau tidak sengaja? Kalau sengaja, kita akan tamatkan perjanjian terbit yang ada. Kalau penulis ni pernah terbitkan buku dengan kita, tarik balik semua karya dia. Pulangkan semula hak penerbitan yang ada. Masukkan penulis ni dalam senarai hitam. Kita kena cepatkan penerbitan salah satu novel yang dah siap disemak dari bulan seterusnya.”

“Kalau tak sengaja?”

Dzarif mendengus. “Mustahil tak sengaja. Takkan ada dua orang, yang saling tidak mengenali boleh menghasilkan ayat yang sama.”

Yasmin mengangguk laju. Dia mencatatkan rancangan Dzarif dalam iPad miliknya.

Kriukk! Bunyi perut berkeroncong kedengaran. Semua mata yang ada tercari-cari punca bunyi tersebut.

Suria tersengih sambil memegang perut. Seawal jam 11.00 pagi, dia telah dikejutkan dengan panggilan kecemasan seperti itu. Dia tidak sempat bersarapan. Datang pejabat, dia hanya duduk dan memerhatikan perbincangan tersebut.

“Suria pun dah lapar. Sabtu pula tu. Jom pergi makan tengah hari. Aku belanja,” pelawa Dzarif. Matanya mengerling ke arah jam di pergelangan tangan.

“Kau, Yas? Join? Atau, kau ada janji temu?” Dzarif sempat memandang penampilan Yasmin, pembantu ketua editor merangkap sahabat baiknya itu. Yasmin jarang berpakaian secantik itu.

“Alamak, hari ni kau ada janji temu, kan? Aku dah kacau kau dating. Aku minta maaf.” Aifah teringat akan hal itu. Secara tidak sengaja, dia terdengar perbualan Yasmin dengan seseorang di sebalik telefon semalam.

Rasa bersalah menyerbu benak Aifah. Kerana kes yang melanda manuskrip seliaannya, Yasmin terpaksa masuk ke pejabat pada hari Sabtu.

“Janji temu?” soal Dzarif. Terdetik perasaan cemburu dalam hati kecilnya. Patutlah Yasmin berpakaian cantik seperti itu. Kebiasaannya, Yasmin lebih gemar memakai t-shirt, seluar jean dan bertudung sarung ke pejabat. Cermin mata bulatnya akan sentiasa tersarung di wajah mungil gadis itu. Cuma hari ini, gadis itu terlihat menggunakan kanta lekap.

Yasmin mendengus. Dia tidak selesa bila tumpuan rakan sekerjanya jatuh kepada dirinya. “Dahlah. Kata nak makan, kan? Jom.” Yasmin menarik Aifah dan Suria bangun. Dia tidak mahu membuat sebarang penjelasan.

KOMEN AND PENDAPAT PEMBACA 👇