peringatan

semua hasil penulisan di blog iamhananorisa.com adalah hak milik penulis kecuali dinyatakan sebaliknya.

semua karya iamhananorisa.com yang dipaparkan di blog ini adalah hak milik sepenuhnya Hana Norisa dan syarikat penerbitan. Karya-karya ini dilindungi di bawah Akta Hak Cipta Malaysia.

Hana Norisa dan syarikat penerbitan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang cuba plagiat/copy paste/yang seumpama dengannya.


pihak iamhananorisa.com sentiasa berusaha untuk menghormati hak milik dan hak cipta orang lain, ini termasuk bahan-bahan seperti artikel, gambar, muzik, video atau bahan-bahan lain yang digunakan dalam artikel-artikel atau bahagian dalam laman ini. Sekiranya terdapat sebarang masalah atau pertanyaan mengenai perkara ini, pihak anda boleh hubungi iamhananorisa.com.

[MY BOOK] BAB 10 PASTI ADA KAMU

Blog post description.

PASTI ADA KAMU

Hana Norisa

3 min read

MAJLIS kenduri sebelah pihak lelaki tamat tepat jam 4.00 petang. Megat dan Edora sedang bersiap untuk menjalani sesi bergambar post-wedding. Yasmin pula sedang sibuk memasukkan barang-barang untuk pulang ke Kuala Lumpur. Baki lauk-pauk kenduri diletakkan di bahagian sebelah pemandu.

Usai menyimpan barangan, Yasmin berdiri di pintu kereta. Dia mahu mengucapkan selamat tinggal sebelum bertolak pulang. Matanya sempat mencari kelibat Noah. Sejak kejadian malam tadi, dia sentiasa memastikan keberadaan Noah. Dia cukup risau bila melihat Noah merapati Megat. Dia risau sekiranya Noah membongkarkan rahsianya kepada Megat.

“Terima kasih sebab sudi datang tolong mak su.” Mak Su Timah mencapai tubuh Yasmin. Tubuh kecil itu didakap erat. “Nanti dah sampai KL kirim salam dekat mama, ya.”

“Insya-Allah, mak su.” Yasmin membalas pelukan Mak Su Timah. “Maaf tak dapat nak tolong kemas-kemas.”

“Tak apa. Kamu datang awal pun dah membantu sangat. Setakat nak mengemas, nanti mak su kerah tenaga Si Al tu.” Mak Su Timah menjeling anak perempuan tunggalnya.

“Mama…” Alysa menarik muncung.

Yasmin ketawa kecil. “Beb, aku balik dulu tau.”

Alysa tersenyum. Dia turut memeluk Yasmin. “Nanti kalau Hadi kena kerja luar kawasan, aku singgah rumah kau macam biasa.”

“Tak ada masalah. Hadi, kau jangan selalu tinggalkan isteri kau ni. Penatlah dengan dia asyik nak suruh aku pergi blind date,” luah Yasmin.

Bunyi tawa berderai. Hadi yang sedari tadi memerhatikan adegan itu turut tertawa. Tubuh kecil isterinya didakap. “Yang lain aku dapat kawal tapi bab kepochi ni, aku gagal.”

Alysa mencubit pinggang Hadi.

Tawa Yasmin berderai. Dia sengaja mengusik Alysa. Sejak Hadi sampai lewat malam tadi, pasangan suami isteri itu asyik berkepit.

“Abang betul ni, nak bagi Min buku Nameless ni?” soal Yasmin, tidak percaya. Bukannya murah harga buku itu. Dia tahu sebab dia sendiri ada membeli buku itu.

Megat mengangguk. “Ambil aje. Abang tak kisah pun. Nanti dah sampai buku Min, hantar balik buku tu.”

“Terima kasih abang. Nanti Min pos ke sini.”

“Pos? Mana boleh pos. Kena balik sini, hantar. Pos tak dilayan,” ujar Megat, selamba.

“Abang!” Alysa menjeritkan kecil. “Abang sangat bijak.”

“Bijak?” Yasmin mengerutkan dahi.

“Barulah Min ada alasan untuk balik kampung ni. Kalau tak, jangan harap dia nak balik,” ujar Alysa. “Abang bijak!”

Megat mengenyitkan mata. “Ni Megatlah. Benda kecil aje.”

Semua orang ketawa kecil. Lucu dengan telatah kedua-dua beradik itu.

Edora yang berada berdekatan hanya ketawa nipis. Dia tidak senang dengan kehadiran Yasmin. Dia dapat rasakan suaminya masih menyimpan perasaan terhadap Yasmin. Mengenali Yasmin dan Megat sedari sekolah menengah membuatkan dia berperasaan sedemikian.

“Dah, pergi cepat. Nanti lambat gerak, lambat sampai. Lauk tu jangan lupa terus panaskan bila sampai kat rumah,” halau Megat.

Yasmin mencebik. “Tahulah.”

TANGAN YASMIN penuh dengan barangan. Sebelah kanan penuh dengan bekalan yang dikirim Mak Su Timah. Tangan kiri memegang bagasi. Tidak cukup dengan itu, kedua-dua tangannya mengangkut kotak yang berisi buku karya Nameless. Bila lif tiba di aras 11, Yasmin melangkah keluar.

Yasmin memulas tombol pintu rumah. Serentak itu, bau busuk singgah pada deria baunya. Keadaan rumah yang tertutup membuatkan rumah itu terasa berkuap. Hidungnya terherot-herot cuba menyingkirkan bau busuk yang menerpa.

Dia meletakkan kotak berisi buku Nameless dan lauk-pauk yang diberikan Mak Su Timah di atas kabinet dapur. Setelah itu, dia terus menuju ke arah beranda.

Langsir beranda diselak. Tingkap dibuka agar sistem pengudaraan di rumah itu bertukar segar. Awal pagi esok, dia akan cuba mencari punca bau itu. Mungkin ada tikus mati dalam unitnya itu. Untuk malam ini, dia terlalu penat. Dia cuma mahu tidur.

Yasmin berlari anak untuk naik ke aras atas. Dia mahu membersihkan dirinya sebelum makan malam. Baru beberapa langkah menaiki tangga, hatinya rasa tidak enak. Dia terasa seperti ada seseorang sedang memandang ke arahnya.

Yasmin melihat sekeliling. Dia mengukir senyuman sinis mengenangkan kebodohan dirinya. Mana mungkin ada orang lain di dalam rumahnya! Sambil bersiul, dia masuk ke dalam bilik tidur.

Tiba sahaja di aras atas, dia tergamam. Tubuh penyewa unitnya sepanjang dia berada di kampung, terbaring di atas katil. Dia yakin gadis itu sudah tidak bernyawa. Mayat gadis itu terlentang dengan mata yang terbeliak.

Yasmin terduduk.

KOMEN AND PENDAPAT PEMBACA 👇