peringatan

semua hasil penulisan di blog iamhananorisa.com adalah hak milik penulis kecuali dinyatakan sebaliknya.

semua karya iamhananorisa.com yang dipaparkan di blog ini adalah hak milik sepenuhnya Hana Norisa dan syarikat penerbitan. Karya-karya ini dilindungi di bawah Akta Hak Cipta Malaysia.

Hana Norisa dan syarikat penerbitan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang cuba plagiat/copy paste/yang seumpama dengannya.


pihak iamhananorisa.com sentiasa berusaha untuk menghormati hak milik dan hak cipta orang lain, ini termasuk bahan-bahan seperti artikel, gambar, muzik, video atau bahan-bahan lain yang digunakan dalam artikel-artikel atau bahagian dalam laman ini. Sekiranya terdapat sebarang masalah atau pertanyaan mengenai perkara ini, pihak anda boleh hubungi iamhananorisa.com.

[MY BOOK] BAB 2 PASTI ADA KAMU

Blog post description.

PASTI ADA KAMU

Hana Norisa

6 min read

YASMIN menanggalkan kasut dan memasukkannya ke dalam kabinet. Sempat matanya menangkap sebakul bunga mawar yang terletak cantik di atas kabinet tersebut. Ada sekeping kad terselit pada jambangan tersebut.

Beb, maaf sebab aku letak bunga tu dekat situ. Aku tak tahu nak letak dekat mana.” Kehadiran Alysa dengan kepala yang berbalut tuala membuatkan pandangan Yasmin terkalih. Dia terlupa yang Alysa bermalam di rumahnya hari itu. Alysa memang akan selalu ke pangsapuri duplex miliknya jika Hadi, suami Alysa, terpaksa bekerja di luar kawasan.

Yasmin masuk ke dalam rumah. Kunci kereta digantungkan di tempat penggantung kunci. “Daripada Hadi?”

Alysa tersengih. “Aku dah cakap dengan Hadi, tak payah hantar bunga, tapi dia nak hantar juga. Rasa bersalahlah tu sebab tinggalkan isteri dia yang comel ni.”

Yasmin mencebik mendengar ayat terakhir Alysa.

Alysa tertawa kecil. Dia sengaja mengusik Yasmin. “Aku tak nak letak dekat meja kopi sebab kau tak suka bunga, kan? Alergik.”

“Aku bukan alergik yang alah tu. Aku alergik bila lelaki bagi perempuan bunga. Mereka ingat dengan bagi bunga, semua perempuan akan cair?” ujar Yasmin seraya menuju ke ruang tamu. Dia teringat bagaimana Dzarif selalu memesan bunga untuk dihantarkan kepada semua teman wanitanya yang sedang merajuk sebagai tanda meminta maaf.

Erm, aku cair aje.” Alysa ketawa besar. Dia melangkah ke ruangan dapur. “Milo?”

“Okey!” sahut Yasmin. Dia meletakkan tas tangan di tepi kerusi sebelum menghenyakkan tubuh pada sofa di ruang tamu. “Suami kau... wajarlah kau cair.”

“Kau tu memilih sangat. Kalau tak memilih, dah beranak pinak agaknya kau tu,” perli Alysa. Tangannya laju memasukkan Milo dan susu ke dalam muk.

“Eleh, kata orang dia yang lebih. Antara aku dan kau, aku rasa kau lagi memilih daripada aku.” Yasmin mencebik. Dia tergelak mengenangkan syarat-syarat calon yang diletakkan Alysa semasa mengisi borang di portal mencari jodoh.

Alysa mendengus. “Kita tengah bincang pasal kau. Bukannya aku!”

“Aku tak memilih cuma aku tak faham kenapa manusia kahwin selepas itu tinggalkan isteri dan anak terkontang-kanting. Susah ke nak setia dengan isteri? Kalau rasa susah nak setia, kenapa nak kena kahwin?” ujar Yasmin, selamba. Matanya terarah pada televisyen yang terbuka.

“Menghilangkan diri macam tu aje. Isteri ditinggalkan gantung tak bertali. Anak dibiarkan membesar tanpa ayah,” omel Yasmin, perlahan.

Alysa menipiskan bibirnya. Dia faham mengapa Yasmin berfikiran sedemikian. Yasmin ditinggalkan papanya ketika dia menginjak remaja. Sehingga kini, mereka masih tidak tahu keberadaan papanya. Hilang tanpa khabar berita.

Alysa bergerak ke ruang tamu bersama muk Milo. Punggung dilabuhkan di sebelah Yasmin. Muk berisi Milo diletakkan di atas meja kopi. “Macam mana dengan Shahrul tadi? Ada peluang ke peringkat seterusnya?”

Yasmin mencebik tatkala mengenangkan perbualannya dengan Shahrul. Serta-merta mukanya membahang. “Bukan cita rasa aku.”

Sebuah iklan mekap berjenama Kiss Me Make Up dari Korea Selatan menarik perhatian Yasmin. Jenama itu terkenal di Malaysia. Alysa sendiri menggunakan jenama itu. Yang menarik perhatiannya adalah wajah si model. Raut wajah model itu kelihatan berbeza dengan kebanyakan gadis Korea Selatan yang dilihat menerusi K-drama yang ada.

Pap! Satu tepukan melekap di paha Yasmin. Yasmin mengaduh. Pandangannya teralih.

“Aku sengaja tepuk kau!” ujar Alysa, geram dengan jawapan Yasmin. “Apa pula kurangnya dengan Shahrul tu?”

Yasmin mendengus. “Tak ada apa yang kurang… cuma aku tak berkenan dengan perangai dia.”

“Perangai?”

“Lupakan.” Yasmin enggan memanjangkan cerita. Sikap Shahrul sangat menjengkelkan. Walaupun dia tidak bersetuju dengan tindakan Sufian dan Dzarif, dia tidak pernah membiarkan mereka berdua bebas membuli.

Setiap kali dia ternampak Sufian dan Dzarif membuli, dialah yang akan melaporkan kepada pihak pentadbir universiti untuk menangkap Sufian dan Dzarif. Cuma, kedua-dua teman baiknya itu tidak pernah mengambil iktibar. Mereka selalu dilepaskan kerana Sufian dan Dzarif anak orang berpengaruh.

Alysa memicingkan mata. Dia dapat rasakan yang Yasmin ada menyembunyikan sesuatu. “Apa aje yang kau orang bualkan?”

Satu keluhan terbit daripada mulut Yasmin. “Tak sempat berbual panjang, ofis dah panggil.”

Alysa menjerit kecil. “Hari ni Sabtu! Cuti! Pergi ofis buat apa?”

“Ada hal sikit. Nak tak nak kena pergi,” luah Yasmin. Dia menyisip Milo yang dibancuh Alysa. “Erm, seronoknya dapat coklat panas waktu sejuk macam ni.”

“Carilah suami. Peneman. Nanti kau balik kerja, dapatlah dia buatkan kau air macam ni.”

Yasmin mengeluh lagi. “Tak habis lagi ke topik kahwin? Kau tahu tak apa persamaan kau dengan mama aku?”

“Kecantikan?” balas Alysa seraya meletakkan telapak tangannya ke pipi.

Pap! Bantal sofa hinggap di wajah Alysa.

“Sakitlah!” adu Alysa seraya memuncungkan bibir.

“Bagi jawapan merepek begitulah akibatnya.” Yasmin mencebik. “Kau dan mama suka sangat ungkit pasal kahwin. Aku tahulah kau tu baru kahwin, semuanya indah.”

Alysa ketawa besar. “Okey, cuba cerita dekat aku, lelaki macam mana yang kau nak? Aku carikan?”

“Lelaki yang aku nak ni, tak wujud. Hanya wujud dalam novel. Jadi, tak payah bersusah payah nak cari dia.”

“Aku tak boleh terima jawapan tu. Setiap wanita ada ciri-ciri lelaki yang dia impikan. Aku nak tahu juga. Selama ni kau tak pernah nak jawab. Kali ni, kau kena jawab. Anggaplah ni hadiah perkahwinan kau untuk aku.”

Oven dengan pembakar roti tu pulangkan balik.” Yasmin menadah tangan.

“Kenapa pula?” soal Alysa, pelik.

“Kalau kau nak aku anggap ini hadiah perkahwinan kau, pulangkan hadiah kahwin kau yang aku bagi hari tu. Amboi, kahwin sekali tapi nak hadiah sampai tiga!”

Alysa mencebik. “Itu pun nak berkira!”

Yasmin ketawa kecil. “Aku gurau ajelah. Bagi aku, perkahwinan ni bukan sekadar mencari lelaki yang aku impikan...”

Yasmin berjeda.

“Perkahwinan adalah sesuatu yang suci. Untuk berkahwin dengan seseorang, kita perlu ada rasa percaya. Dan, percaya itu perlukan komitmen. Aku selalu tanya diri aku sendiri setiap kali orang tanya pasal kahwin. Mampukah aku menjadi seorang isteri yang baik?”

“Mampukah aku mengabdikan diri untuk setia kepada seorang lelaki? Boleh ke aku percayakan seseorang sepenuh hati? Macam mana kalau aku dah percayakan dia, dia tinggalkan aku macam mana papa aku tinggalkan aku? Kau, kenapa kau kahwin dengan Hadi? Sebab kau percayakan dia, kan?”

Alysa mengangguk lagi. Dia setuju dengan Yasmin. Dia memilih untuk berkahwin dengan Hadi kerana dia percayakan Hadi dan mahu hidup bersama Hadi. Sebab itu, dia sanggup mengejar cinta Hadi. “Dzarif?”

“Kenapa dengan Dzarif?” Yasmin mengerutkan dahinya. Pelik bila nama Dzarif meniti di bibir Alysa. Alysa mengenali Dzarif melalui penceritaannya. Mereka tidak pernah berjumpa.

“Dzarif. Kau tak percayakan dia? Kau orang dah lama kenal, kan?”

“Kenal tak menjadi tiket untuk aku percayakan dia.” Yasmin melepaskan keluhan kecil. Belum sempat dia meneruskan kata-kata, deringan telefon pintar Alysa membantutkan perbualan mereka.

Alysa berkejar ke aras atas duplex untuk mendapatkan telefon pintarnya.

Yasmin kembali menikmati Milo panas bancuhan Alysa. Pandangan dilontarkan ke luar beranda. Dia benar-benar rasa selesa menikmati minuman panas sambil melihat renik hujan yang mulai membasahi bumi.

“Siapa?” soal Yasmin sebaik sahaja merasakan Alysa sedang berjalan mendekati dirinya.

“Mak aku. Dia tanya kau jadi balik kampung hujung minggu depan, kan?” Alysa mencari kepastian. Risau sekiranya Yasmin mengubah keputusannya. Yasmin, seorang yang gila kerja. Keputusan gadis itu boleh berubah pada bila-bila masa bila melibatkan kerja. Dia masih ingat lagi bagaimana Yasmin mengubah keputusannya di saat akhir apabila perkahwinannya mendekat. Lama juga mereka tidak bercakap kerana hal itu.

Yasmin mengetap bibir. Memang dia sudah memohon cuti cuma dia tidak berani memberikan kata putus. Dia risau jika dia memungkiri janjinya.

“Abang Megat kahwin, kot! Majlis aku hari tu pun kau tak balik.”

Hello! Siapa kata aku tak balik kahwin kau? Aku ada masa akad nikah kau.” Yasmin membetulkan kenyataan Alysa. “Masa kau bersanding aje aku tak ada.”

“Sama aje kisahnya.” Alysa masih mahu menang.

Yasmin mendengus. Kalau bercakap dengan Alysa, gadis itu sahajalah yang mahu menang. Akhirnya, dia diam. Matanya dikembalikan ke luar beranda.

NOAH RALIT membaca buku Letters to God yang dijumpainya pagi tadi. Novel Inggeris karya Norhafsah Hamid itu membuatkan hatinya terpanggil untuk membaca. Dia sempat menyemak sinopsis buku itu melalui carian Google.

Buku itu mengisahkan isi hati seorang gadis introvert yang berjaya melanjutkan pelajarannya ke luar negara, yang mana Islam adalah kelompok minoriti. Gadis itu menulis surat kepada Tuhan untuk menceritakan segala perasaan yang dialaminya sepanjang berada di sana. Sedikit sebanyak kisah gadis itu mirip dengan kehidupannya ketika itu. Bagaimana dia dan adiknya membesar di sebuah negara, yang Islam adalah kelompok minoriti.

Baru mahu memulakan pembacaan, mata Noah menangkap sebuah doodle. YH! Tidak jauh daripada perkataan itu, tertera satu alamat. Alamat itu bukan alamat rumah, sebaliknya alamat sebuah syarikat penerbitan. Yusaira Publication! Sebuah syarikat penerbitan yang sudah lama diintip dari jauh.

KOMEN AND PENDAPAT PEMBACA 👇