peringatan

semua hasil penulisan di blog iamhananorisa.com adalah hak milik penulis kecuali dinyatakan sebaliknya.

semua karya iamhananorisa.com yang dipaparkan di blog ini adalah hak milik sepenuhnya Hana Norisa dan syarikat penerbitan. Karya-karya ini dilindungi di bawah Akta Hak Cipta Malaysia.

Hana Norisa dan syarikat penerbitan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang cuba plagiat/copy paste/yang seumpama dengannya.


pihak iamhananorisa.com sentiasa berusaha untuk menghormati hak milik dan hak cipta orang lain, ini termasuk bahan-bahan seperti artikel, gambar, muzik, video atau bahan-bahan lain yang digunakan dalam artikel-artikel atau bahagian dalam laman ini. Sekiranya terdapat sebarang masalah atau pertanyaan mengenai perkara ini, pihak anda boleh hubungi iamhananorisa.com.

[MY BOOK] BAB 3 PASTI ADA KAMU

Blog post description.

PASTI ADA KAMU

Hana Norisa

7 min read

YASMIN menarik brek tangan. Deringan telefon pintar yang bertalu masuk membuatkan dia memberhentikan keretanya di ruangan bas berhenti. Dia risau dihubungi kerana ada kecemasan.

Berhenti sahaja kereta, dia mencapai telefon pintar yang berada dalam tas tangan. Tulisan ‘Mama’ terhias di skrin monitor. Tanpa berlengah, dia mendail semula nombor ibunya. Entah apalah yang mahu dibicarakan sehingga menelefonnya tidak berhenti-henti.

“Ya, mama!” sergah Yasmin bila panggilan bersambung.

“Hei, tak reti nak jawab salam mama ke?” Puan Maria memarahi anak tunggal perempuannya itu.

“Maaf. Waalaikumusalam, mama. Kenapa mama telefon Min banyak kali ni?” soal Yasmin. Sesekali matanya melihat cermin pandang belakang, risau sekiranya ada bas yang mahu berhenti di situ.

“Tak ada apa. Saja nak telefon Min,” ujar Puan Maria, selamba.

“Mama telefon Min tak henti-henti. Min ingatkan ada perkara penting. Kalau Min tahu tak ada perkara penting, Min tunggu sampai ofis baru telefon mama,” luah Yasmin. Bibir diketap kuat. Geram!

“Oh, mama dah ingat kenapa mama telefon Min.” Puan Maria cuba berdalih.

“Min balik Banglo Kasih tak malam ni?” soal Puan Maria. Banglo Kasih merupakan nama kepada banglo yang diduduki Puan Maria. Sejak lima belas tahun yang lalu, di situlah mereka dua beranak menumpang teduh.

Yasmin tersenyum nipis. Sejak dia keluar dari Banglo Kasih, dia tidak pernah menjejakkan kaki ke banglo itu. Sudah hampir tujuh tahun dia tidak ke situ. “Kenapa nak kena ke banglo? Mama nak jumpa Min ke? Kalau mama nak jumpa Min, kita boleh aje jumpa dekat Kafe Triple C.”

“Hari ni ada jamuan sikit dekat banglo, sempena Ian balik Malaysia. Dah sebulan Ian balik, baru sempat nak buat jamuan,” luah Puan Maria, separa memujuk. Sebelum Sufian melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat, Yasmin dan Sufian bagaikan belangkas. Entah kenapa, semuanya berubah selepas Sufian ke Amerika Syarikat.

Yasmin mencebik. “Min ada kerja. Tak sempat nak singgah. Esok, Min mula cuti. Banyak kerja nak diselesaikan sebelum cuti. Tak naklah nanti Min cuti, kerja tinggal bertangguh.”

“Min cuti? Min dah ada pelan nak cuti ke mana?” Mata Puan Maria bersinar. Jarang dia mendengar Yasmin mengambil cuti. Cuti tahunan anaknya selalu tidak habis diambil.

“Min nak berehat dekat rumah. Siapkan kerja-kerja terjemahan Min. Hujung minggu ni nak balik kampung. Abang Megat kahwin.” Yasmin menceritakan perancangannya.

“Allahuakhbar! Mama lupa betul majlis Megat hujung minggu ni.” Puan Maria menepuk dahi. Dia terlalu sibuk menguruskan kerja-kerjanya di Banglo Kasih sehingga terlupa akan hal itu.

“Kalau dah sibukkan orang lain, mana nak ingat hal penting macam tu.” Yasmin memerli. Sikap ibunya yang terlalu mementingkan urusan pemilik Banglo Kasih membuatkan dia geram. Sedari dulu, dia tidak pernah suka bila mereka harus tinggal di banglo itu. Ibunya yang berdegil untuk tinggal di situ.

“Min... kalau bukan...”

“Mama...” Yasmin cepat-cepat menyampuk. Berdasarkan nada Puan Maria, dia sudah dapat mengagak arah perbualan mereka. “Min nak kena gerak ni. Ada bas dah datang. Nanti apa-apa hal, Min telefon mama lagi.”

Yasmin mencari alasan. Dia tidak mahu berbual lama dengan Puan Maria. Dia tahu Puan Maria rindukan dia, dia juga rindukan ibunya. Cuma, untuk menjejakkan kaki ke Banglo Kasih, dia belum bersedia. Dia tidak suka bila kehadirannya cuma untuk menerima hinaan daripada penghuni banglo itu.

Yasmin mencampak telefon pintar ke papan pemuka kereta. Setelah memerhatikan tidak ada kereta dari arah belakang, Yasmin memandu masuk ke jalan raya semula. Kelantangan suara radio dinaikkan. Dia cuba mengenyahkan perbualan dengan ibunya sebentar tadi.

YASMIN MENERUSKAN pemanduannya ke Wisma Berjaya. Dia tersenyum melihat tempat parkir kebiasaannya masih kosong. Cepat-cepat dia mengambil posisi untuk memarkir kereta secara mengundur.

Belum sempat mengundur, sebuah kereta Honda Civic hitam meluncur masuk ke dalam kotak parkir pilihannya. Yasmin terperanjat. Cepat-cepat dia menekan pedal brek untuk mengelakkan pelanggaran.

Melalui cermin pandang belakang, Yasmin dapat melihat dengan jelas, pemandu Honda Civic itu keluar dari kereta.

Yasmin menanggalkan tali pinggang keledar. Dia mahu turun dan berhadapan dengan lelaki itu, namun tindakannya terbantut. Lelaki itu turun dari kereta, mengangkat tangan ke arahnya dan berlari ke arah lif.

Yasmin terkedu. Kerana terlalu geram, dia menekan hon sekuat hati. Setelah lega, dia menggerakkan kereta untuk mencari parkir lain yang masih kosong.

Siap memarkirkan kereta, Yasmin bergegas ke arah lif untuk naik ke Yusaira Publication. Tetapi sebelum itu, sempat dia menghadiahkan satu tendangan pada bumper kereta Honda Civic hitam itu. Nombor plat kereta itu melekat di minda separa sedar Yasmin.

NOAH MENGERLING jam di pergelangan tangan. Dia sudah terlewat untuk menemui ejen persuratan yang dihubunginya di Wisma Berjaya. Jalan raya Kuala Lumpur yang sesak membuatkan dia kelewatan. Setibanya dia di bangunan ini, dia terus masuk ke petak parkir pertama yang dilihatnya.

Noah berlari anak ke lobi lif. Butang naik ditekan. Sementara menanti lif turun ke aras parkir, Noah memerhatikan semula alamat pejabat ejen persuratan itu. Kebetulan, kedua-dua pejabat ejen persuratan dan Yusaira Publication berada di bangunan yang sama. Otaknya ligat merancang agenda hari ini agar dia dapat memulangkan buku tersebut biarpun seminggu telah berlalu.

Pintu lif terbuka. Kaki Noah laju melangkah ke dalam lif. Di saat pintu lif tertutup, kelibat seorang gadis berhijab singgah pada pandangannya. Dia cuba menekan butang buka, namun pintu lif sudah tertutup rapat. Lif tersebut naik laju ke aras yang dituju Noah.

LAMA KAU dalam bilik Datuk,” soal Yasmin. Dia tidak berpaling untuk melihat Dzarif. Biarpun begitu, dia tahu Dzarif baru sahaja keluar dari bilik Datuk Meor. Dia boleh mendengar dengan jelas langkah Dzarif yang menghampiri meja. Kedudukan bilik Datuk Meor cuma berjarak beberapa meter dari ruangan kerja mereka.

Dzarif tidak jadi duduk bila disergah seperti itu. Selaku ketua editor, tempat duduknya terletak di hujung, mudah untuk dia memantau ahli pasukannya. “Bagilah aku duduk dulu, kalau nak tanya pun.”

Yasmin mengalihkan pandangannya ke kiri. Dia menolak kerusinya ke belakang sedikit. iMac milik Dzarif sedikit menghalangnya untuk melihat kedudukan Dzarif. Sebaik sahaja Dzarif duduk, dia kembali menyoal. “Sekarang dah boleh jawab soalan aku?”

Dzarif mencebik. Yasmin memang jenis yang tak sabar bila mahu tahu sesuatu.

“Ada berita pasal kes plagiat tu?” soal Yasmin, ingin tahu. Seminggu sudah berlalu, dan mereka sudah pun berjumpa dengan penulis yang terlibat. Penulis tersebut mengesahkan yang dia mengambil ‘inspirasi’ daripada novel penulis yang diplagiat tersebut.

“Datuk tak nak panjangkan cerita. Kita pun dah tamatkan perjanjian dengan penulis itu. Nasib baik kita belum mulakan cetakan. Semoga penulis dapat pengajaran daripada kes ini. Plagiat dan mengambil inspirasi daripada novel sedia ada adalah dua benda yang berbeza.”

Yasmin mengangguk, mengakui kenyataan Dzarif. Sebagai seorang editor dan pembaca, dia tidak faham motif seseorang penulis melakukan plagiat. Adakah untuk terkenal dengan lebih cepat? Memandangkan karya yang diplagiat adalah daripada novel yang laku keras?

“Selain daripada kes plagiat ni, Datuk ada usulkan dekat aku tentang rancangan dia untuk ulang tahun Yusaira Publication yang ke-15,” ujar Dzarif. “Sesuatu yang aku rasa unik sebab kita tak pernah buat lagi projek macam ni.”

“Unik?” Yasmin mengerutkan dahinya. Dia menghalakan tubuhnya ke arah Dzarif sebagai tanda dia terbuka untuk sebarang perbincangan. “Maksud unik tu?”

“Aku tak berapa pasti dengan rancangan Datuk sebab dia cuma cakap sambil lalu. Secara umumnya, aku rasa Datuk nak kita terbitkan novel terjemahan.”

“Terjemahan? Siapa pula yang nak terjemahkan karya orang lain ni? Kita tak cukup staf tau. Editor kau ada dua orang aje. Seorang lagi pelatih. Seorang lagi entah bila nak dapat. Sebulan nak terbit sampai tiga novel. Matilah aku dengan Aifah kalau macam ni,” luah Yasmin. Mahu memeriksa manuskrip sahaja sudah mengambil masa, inikan pula mahu menterjemahkan karya daripada bahasa asing.

“Kau ni… dengarlah dulu. Kalau projek ni jadi, tahulah aku nak upah penterjemah luar. Aku takkan bebankan staf kesayangan aku yang dua orang ni.” Dzarif mendengus.

Yasmin mencebik. “Teruskan penjelasan kau.”

“Macam ni, Datuk ada sebut tentang seorang penulis ni. Katanya, penulis ni sangat terkenal di Korea Selatan. Jadi, Datuk nak gunakan populariti penulis ni untuk pasaran Malaysia. Lebih tepat lagi, ke dalam pasaran di mana pembacanya membaca buku bahasa Melayu. Kau pun tahu, Malaysia dilanda demam Korea Selatan. Daripada drama, produk penjagaan kulit, muzik, hinggalah ke budaya Korea Selatan jadi kegilaan dekat Malaysia ni. Mana tahu, lepas masukkan novel terjemahan Korea Selatan ke bahasa Melayu, boleh menaikkan industri buku.”

“Datuk rancang nak lancarkan buku terjemahan ni sempena ulang tahun Yusaira Publication?” Yasmin diam memikirkan sesuatu. “Nama penulis tu?”

“Nameless.”

“Nameless?” soal Yasmin. Dia kembali berpaling menghadap komputer riba. Tangannya laju membuka pelayar Google Chrome. Nama penulis itu ditaip di ruangan carian.

“Penulis Korea Selatan yang menggunakan nama pena, Nameless. Dia lebih selesa menjadi seorang closet writer. Berumur 32 tahun dan dilahirkan di Seoul. Uniknya, Nameless merupakan anak kepada pasangan warganegara Malaysia dan Korea.”

“Seorang penulis bergenre misteri dan thriller. Selain itu, pernah menghasilkan karya bergenre cinta. Karya cinta pertama yang dihasilkan Nameless turut menjadi best seller namun selepas karya cinta itu, Nameless menghilangkan diri. Ramai tertanya mungkinkah itu karya terakhir daripada seorang penulis berbakat, Nameless.” Yasmin membacakan maklumat yang didapatinya.

“Wah, Malaysia-Korea. Mengagumkan. Mungkin sebab tu Datuk mahukan karya dia. Perkataan Malaysia-Korea tu boleh membuatkan peminat Korea Selatan di Malaysia teruja.” Dzarif sempat memuji. “Ada gambar tak? Mesti tak sekacak aku.”

Pap! Segumpal kertas dilempar ke arahnya. Dzarif tergamam. “Kau ni, aku main-main aje. Janganlah suka lempar kertas dekat aku.” Gumpalan kertas itu diambil lalu dibuang ke dalam tong sampah.

“Dah nama closet writer. Bila pula closet writer bagi gambar? Dan, dekat sini tak beritahu pun penulis ni lelaki atau perempuan...”

“Wah, itu benar-benar misteri sampai jantina pun kita tak tahu.” Dzarif mengangguk kecil.

“Jadi, Datuk nak kita terjemahkan karya Nameless?” Yasmin meminta kepastian. Mata sempat menyambung pembacaan tentang penulis yang bernama Nameless itu. “Ikut info yang aku ada ni… novel Nameless ni dalam bahasa Korea. Tidak pernah diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa.”

“Bila Datuk sarankan projek ni, ada satu perkara yang membuatkan aku teruja.”

“Apa dia?” soal Yasmin, ingin tahu.

“Datuk kata cara penulisan Nameless mirip Tuan Hasbi,” sambung Dzarif.

Pandangan Yasmin kembali ke arah Dzarif. “Tuan Hasbi? Penulis idola aku?”

Dzarif mengangguk laju.

“Seriuslah?” Yasmin bagaikan tidak percaya. Sebagai salah seorang peminat karya Tuan Hasbi Abdullah, sukar untuk dia percaya akan ada orang yang mempunyai gaya penulisan yang sama dengan idolanya itu.

“Kau rasa Tuan Hasbi buat comeback dengan nama Nameless?” duga Dzarif.

“Merepeklah kau ni. Tuan Hasbi tu mungkin sekarang dah berumur 50-an. Biodata Nameless ni kata umurnya 32 tahun. Pasti orang yang berbeza.”

“Kau pasti maklumat dekat Internet tu, betul? Internet ni, baca boleh percaya jangan.”

Yasmin mengetap bibir. Mungkinkah Tuan Hasbi sudah kembali?

“Tapi tak mustahil, kan? Kau nampak tak persamaan mereka? Tuan Hasbi hilang secara tiba-tiba lima belas tahun yang lalu. Dan sekarang, Nameless pula menghilangkan diri. Dah nak dekat lima tahun. Media sosial Nameless semua tak ada perkembangan terkini. Hilang macam tu saja. Dua orang ini pengakhirannya sama.” Sambil berbual dengan Yasmin, Dzarif juga laju mencari maklumat tentang penulis Korea Selatan itu.

Yasmin menggeleng kecil. “Takkanlah.”

“Kejap!” Dzarif terfikirkan satu idea. “Apa kata kau baca buku penulis ni? Kau baca dan kau bandingkan. Kau pandai baca tulisan hangeul, kan?”

“Siap!” Yasmin tersenyum puas seraya tersandar pada kerusi.

Dzarif mengintai Yasmin dari tempat duduk. “Siap?”

“Pengeposan dalam masa dua minggu.”

“Cepatnya buat pesanan.” Dzarif menzahirkan rasa kagum. Cekap sungguh Yasmin bila melibatkan penulis idolanya, Tuan Hasbi Abdullah.

“Mestilah. Aku tak sabar nak baca karya yang kononnya sama dengan idola aku ni!” Mata Yasmin bersinar-sinar. “Cuma, kedai dalam talian ni tak ada buku terkini beliau… When the Flower Blooms…”

“Buku kontroversi yang menyebabkan Nameless menghilangkan diri tu?”

Yasmin mengangguk kecil. Biarpun begitu, dia nekad untuk mencari buku terakhir itu.

KOMEN AND PENDAPAT PEMBACA 👇