peringatan

semua hasil penulisan di blog iamhananorisa.com adalah hak milik penulis kecuali dinyatakan sebaliknya.

semua karya iamhananorisa.com yang dipaparkan di blog ini adalah hak milik sepenuhnya Hana Norisa dan syarikat penerbitan. Karya-karya ini dilindungi di bawah Akta Hak Cipta Malaysia.

Hana Norisa dan syarikat penerbitan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang cuba plagiat/copy paste/yang seumpama dengannya.


pihak iamhananorisa.com sentiasa berusaha untuk menghormati hak milik dan hak cipta orang lain, ini termasuk bahan-bahan seperti artikel, gambar, muzik, video atau bahan-bahan lain yang digunakan dalam artikel-artikel atau bahagian dalam laman ini. Sekiranya terdapat sebarang masalah atau pertanyaan mengenai perkara ini, pihak anda boleh hubungi iamhananorisa.com.

[MY BOOK] BAB 4 PASTI ADA KAMU

Blog post description.

PASTI ADA KAMU

Hana Norisa

5 min read

NOAH menghirup chocolate cream chip frappucino yang dipesan. Sebaik sahaja siap bertemu dengan ejen persuratan di aras 10, dia mengambil keputusan untuk turun ke kafe yang terletak di aras bawah Wisma Berjaya. Sementara menanti Hanna, dia membuka komputer riba miliknya. Dia mahu menaip sesuatu.

Satu keluhan terbit. Pandangannya tertumpu kepada perisian Microsoft Word. Kosong! Sedari tadi hanya ada satu perkataan yang ditaipnya iaitu Prolog. Tiada lagi sambungan perkataan selepas itu.

“Masih tak ada idea untuk menulis?” Hanna tiba dengan beberapa buah beg kertas. Tertulis jenama barang yang dibeli Hanna, pada beg kertas tersebut.

“Membeli-belah tak ingat dunia. Semua ni barang berjenama, kan?” Sempat Noah menegur perbelanjaan adiknya. Walaupun adiknya itu mempunyai mata pencarian sendiri, dia tetap risaukan cara adiknya berbelanja.

Hanna memuncungkan bibir. “Bukannya Hanna membeli-belah guna duit abang. Dua beg ni, Hanna guna duit Hanna sendiri. Yang ni... Hanna belikan untuk abang. Hadiah.”

Hanna menarik sebuah beg yang menggunakan logo buah epal yang digigit. “Tapi Hanna guna kad abang.”

“Hah?” Noah mencebik. Dia mengerling isi beg. Hanna telah membelikan dia Airpod Max. “Kata hadiah tapi guna kad abang. Tu namanya abang punya, bukannya hadiah.”

Hanna ketawa kecil. “Duitmu, duitku, abang!”

Noah menggeleng kecil. “Seorang aje? Kata pergi membeli-belah dengan Yoo-Jin.”

“Kak Yoo-Jin kena balik rumah dia. Ada hal penting. Jadi, Hanna datang sendiri kat sini,” ujar Hanna. Tanpa segan silu, dia menyisip minuman Noah. “Leganya tekak dapat ais.”

Noah sekadar memerhati. Mereka berdua memang jenis yang tidak kisah berkongsi.

“Macam mana perjumpaan abang tadi? Ejen persuratan tu kata apa?” soal Hanna tatkala matanya jatuh pada sekeping kad nama. Pada kad nama itu tertulis nama sebuah syarikat yang menguruskan hak perlesenan penerbitan karya terjemahan.

Noah masih diam. Berkira-kira untuk bercerita dengan Hanna. Dia bercadang untuk menterjemahkan karya pak ciknya ke dalam bahasa Korea. Sebab itu, dia berjumpa dengan ejen persuratan tersebut.

“Hanna tahu abang nak jumpa pak cik. Seperti mama, Hanna juga yakin pak cik masih hidup walaupun dia dah hilang selama lima belas tahun.”

Noah melepaskan keluhan kecil. “Sebab pak cik, abang kenal dengan dunia penulisan. Yang membuatkan abang mahu belajar menulis.”

“Abang dah jumpa karya pak cik?” Hanna mengambil sebuah buku yang berada tidak jauh daripada Noah. Pada sampul depan buku itu, tertulis nama pak cik mereka.

“Karya pak cik banyak sangat. Buku lama pula tu. Tak semua ada dijual di kedai. Buku ni pun, dah jadi langka. Mahal juga nak dapatkan buku ni,” luah Noah. Selepas berjumpa dengan ejen persuratan tersebut, dia turut bertemu dengan penjual buku terpakai pak ciknya itu.

“Nangka? Jackfruit?” Dahi Hanna berkerut seribu.

“Langka, Hanna. Langka,” usik Noah. “Langka tu macam buku tu dah jadi edisi terhad. Susah nak dapat di pasaran sebab sudah tidak diterbitkan lagi.”

Hanna mencebik. “Gelakkan Hanna nombor satu. Tahulah bahasa Melayu Hanna tak sehebat abang!”

Noah ketawa kecil.

Hanna mendengus kecil. “Biar apa pun niat abang, itu karya pak cik. Karya pak cik akan sentiasa menjadi hak pak cik dan karya abang, akan sentiasa menjadi hak abang. Kalau abang terjemahkan buku pak cik sekali pun, penulisnya tetap pak cik. Bukan abang! Ingat tu! ”

“Abang tahulah, Cik Hanna.” Hidung Noah kembang kempis. Hanna memang pandai membaca fikirannya. Memang benar dia rindu untuk menulis tetapi kenangan lalu membuatkan dia gagal menaip. Dia berharap dengan membaca karya pak ciknya, dia akan kembali mendapat semangat menulis.

Hanna menghirup lagi minuman Noah. Slurp! Bunyi air habis dihirup mengalihkan pandangan Noah. Wajah adiknya dipandang dengan rasa tidak puas hati.

Ops, ingat nak rasa sikit aje. Tak sangka terminum sampai habis.” Hanna menggaru kepala yang tidak gatal.

Kakao! Bunyi pemberitahuan daripada aplikasi kuning itu menarik perhatian Noah. Dia tidak jadi memarahi Hanna.

Noah segera membuka aplikasi tersebut. Dahinya berkerut seribu. Sudah lama rakan baiknya itu tidak menghubunginya. Dia membuka mesej yang diterima.

“Abang, pergilah ke majlis kawan abang tu. Dia tinggal di kampung, kan? Mesti suasananya tenang. Mana tahu kalau abang ke sana, abang dapat jumpa muse abang!” gesa Hanna. Dia tidak betah duduk diam bila tahu abangnya menerima mesej di KakaoTalk. Dalam diam, dia mengintai.

Muse?” Noah meminta kepastian. Sudah banyak kali Hanna menggunakan perkataan muse.

Hanna mengangguk laju. Dia terlupa maksud muse dalam bahasa Melayu.

Noah pantas menggeleng “Tiada muse yang indah selain daripada ayat-ayat Quran daripada kalam Allah.”

Hanna mencebik. “Abang, Hanna tak cakap pun muse yang dicari itu, seorang gadis. Pergi sajalah ke kampung itu. Lihat alam pun boleh mengilhamkan muse. Angkut sekali kamera abang. Abang suka rakam suasana kampung, kan?”

Noah mengetap bibir. Dia terpukul dengan kata-kata Hanna. Selama ini, dia terlupa yang ilham itu tidak semestinya daripada seorang gadis yang dicintainya tetapi ia boleh datang daripada alam ciptaan Tuhan. Mungkin itulah silapnya, terlalu mengejar cinta manusia berbanding cinta Allah.

USAI MAKAN tengah hari, mereka berempat singgah di kafe yang terletak di aras bawah Wisma Berjaya. Dzarif sengaja membawa mereka ke situ sebelum Yasmin mula bercuti panjang. Malah, dia juga mahu pekerjanya menenangkan fikiran setelah kes plagiat tempoh hari selesai.

“Terima kasih Tuan Dzarif sebab sudi belanja minum petang.” Laju Suria berterima kasih. Terharu bila diberi layanan seperti itu biarpun dia hanyalah pelatih di situ.

Yasmin mengerling ke arah jam di iPadnya. Masih ada lebih kurang 20 minit sebelum pukul 2.00 petang. “Tapi…”

“Yas, cuba kau bertenang sikit. Bukannya selalu kita ni dapat minum macam ni. Selalu tepat pukul 2.00 petang, terus kerja. Hari ini, kita bertenang sikit,” tegur Dzarif.

“Entah kau ni. Janganlah serius sangat. Cuba bertenang. Kita keluar di waktu pejabat ni atas kebenaran ketua jabatan tau. Tak perlulah buat kerja masa ni.” Aifah turut menegur. Geram bila Yasmin asyik dengan kerja tanpa mempedulikan orang lain.

“Esok aku dah mula cuti. Aku tak nak hutang apa-apa dengan kau orang. Aku tak nak kau orang kacau cuti yang julung-julungnya aku nak ambil ni.” Yasmin bersuara pedas, sekali gus memberi amaran. Dia tidak mahu kejadian yang berlaku sewaktu perkahwinan Alysa terjadi lagi. Dia sudah berjanji akan tinggal di kampung sehingga majlis bersanding selesai.

Aifah tersengih seperti kerang busuk. Dia dapat rasakan Yasmin sedang menujukan kata-kata itu kepadanya.

“Yusaira!” Panggilan daripada barista kafe membuatkan perbualan mereka terbantut. Suria dan Aifah cepat-cepat bangun untuk mendapatkan pesanan mereka. Sengaja mereka menggunakan nama Yusaira, senang untuk mereka bersiap sedia bila pesanan mereka siap.

NOAH MENAIKKAN pandangannya saat nama Yusaira dipanggil. Dia mencari arah nama itu dipanggil. Matanya jatuh kepada sekumpulan pekerja yang duduk di satu sudut. Kelihatan dua wanita bangun untuk mengambil pesanan mereka. Sementara gadis berhijab itu duduk bersama seorang lelaki.

Dahi Noah berkerut. Dia menarik nafas lega bila lelaki itu bukan lelaki yang dilihatnya di Kafe Triple C. Biarpun begitu, hatinya bagai dijentik satu rasa. Mengapa gadis itu duduk bersebelahan dengan lelaki itu? Adakah kerana lelaki itu, gadis berhijab itu bergaduh tempoh hari? Lelaki itu, Dzarif atau Ian?

Noah keliru. Hatinya berbelah bagi. Selepas perjumpaan dengan Yoo-Jin tempoh hari, dia ke Kafe Triple C semula. Bertanyakan kepada pelayan di sana, sekiranya ada pelanggan mencari buku Letters to God yang tertinggal, tetapi hampa. Mungkin buku itu tidak penting untuk gadis berhijab itu. Kerana itu, dia berbelah bagi untuk ke Yusaira Publication.

KOMEN AND PENDAPAT PEMBACA 👇