Dapatkan karya terkini Hana Norisa - Pasti Ada Kamu melalui Penerbitan AHA di talian www.wasap.my/601111421801/PASTI
peringatan
semua hasil penulisan di blog iamhananorisa.com adalah hak milik penulis kecuali dinyatakan sebaliknya.
semua karya iamhananorisa.com yang dipaparkan di blog ini adalah hak milik sepenuhnya Hana Norisa dan syarikat penerbitan. Karya-karya ini dilindungi di bawah Akta Hak Cipta Malaysia.
Hana Norisa dan syarikat penerbitan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang cuba plagiat/copy paste/yang seumpama dengannya.
pihak iamhananorisa.com sentiasa berusaha untuk menghormati hak milik dan hak cipta orang lain, ini termasuk bahan-bahan seperti artikel, gambar, muzik, video atau bahan-bahan lain yang digunakan dalam artikel-artikel atau bahagian dalam laman ini. Sekiranya terdapat sebarang masalah atau pertanyaan mengenai perkara ini, pihak anda boleh hubungi iamhananorisa.com.
[MY BOOK] BAB 5 PASTI ADA KAMU
Blog post description.
PASTI ADA KAMU
Hana Norisa
8 min read
KUNCI unit pangsapuri bertukar tangan. Gadis berambut separa pendek itu tersenyum. Dia segera menarik bagasi untuk masuk ke dalam lif. Yasmin hanya memandang tanpa perasaan. Setelah yakin gadis itu akan mengikuti segala peraturan yang ditetapkan, dia menuju ke kereta.
Ikutkan hati, dia tidak suka ada orang luar tinggal di rumahnya. Apatah lagi orang itu tidak dikenali tetapi dia juga tidak mahu rumahnya kosong sepanjang dia bercuti. Sekurang-kurangnya, bila dia tiada di rumah, dia masih boleh mendapat duit dengan cara menyewakan rumahnya di aplikasi Airbnb. Sambil bercuti, duit tetap masuk.
Yasmin menarik bagasinya ke kawasan parkir. Setelah tiga hari bercuti, barulah dia bergerak pulang ke kampung. Alysa sudah pulang lebih awal memandangkan abangnya yang akan berkahwin.
Yasmin bercadang untuk memandu kereta ke Melaka. Dapatlah dia menikmati pemandangan alam sekitar. Sudah lama dia tidak berjalan-jalan. Hujung minggunya banyak dihabiskan di rumah untuk menyiapkan kerja sambilan sebagai penterjemah bebas.
Yasmin menghidupkan enjin kereta. Selepas menghubungkan telefon pintar dengan navigasi multimedia kereta, kedengaran audio siar Talk To Me in Korea berkumandang.
Perlahan-lahan dia menaikkan kelantangan suara audio siar tersebut. Setelah yakin semuanya berada dalam keadaan baik, dia menekan pedal minyak untuk memulakan perjalanan.
YASMIN MEMUSINGKAN stereng untuk memasuki pekarangan rumah Alysa. Setelah hampir dua jam memandu, dia menarik nafas lega. Akhirnya, dia sampai juga ke rumah Alysa.
Yasmin turun dari kereta. Baru mahu melangkah naik, dia perasan sebuah kereta Honda Civic berwarna hitam, terparkir kemas di satu sudut. Yasmin menjenguk ke arah nombor plat kereta. Matanya terbeliak! Kesan calar pada bumper jelas kelihatan. Dia yakin, inilah kereta yang sama, berebut parkir dengannya di Wisma Berjaya.
Yasmin menoleh ke kiri dan ke kanan. Cuba mencari figura yang mungkin menjadi pemilik kereta Honda Civic itu, namun tidak berjaya. Tiada sesiapa pun yang berada di sekitarnya ketika itu.
“Beb, kau dah sampai!” Alysa menjerit bila perasan ketibaan Yasmin. Gadis itu berlari anak menuruni tangga untuk mendapatkan Yasmin.
“BEB, KAU rehatlah dulu. Kerja tak banyak lagi. Nanti lepas isyak baru mula sebab banyak lagi barang untuk beg cenderamata belum sampai,” ujar Alysa seraya membawa Yasmin masuk ke dalam biliknya. Sampai sahaja tadi, Mak Su Timah, ibu kepada Alysa terus menyuruh Alysa membawa Yasmin untuk berehat.
“Hadi dah sampai?” soal Yasmin. Mungkinkah Honda Civic hitam itu milik Hadi? Tapi dia yakin, kereta itu bukan milik Hadi. Dia kenal kereta Hadi.
“Hadi mungkin akan sampai malam pernikahan abang. Kau tahu sajalah kerja dia tak menentu. Pelannya balik hari ni, minit akhir beritahu aku yang dia tak boleh balik,” luah Alysa. Ada baur kecewa pada suara namun cepat-cepat dinyahkan. “Itulah risikonya berkahwin dengan pegawai perhubungan korporat. Kerja tak tentu masa dan selalu kena bekerja di luar kawasan.”
Yasmin ketawa kecil. “Melihatkan keadaan kau ni, aku bersyukur aku tak kahwin lagi. Tak adalah selalu kena tinggal.”
“Amboi… tinggal untuk tuntutan kerja. Untuk bagi aku makan juga.” Alysa menarik muncung. “Mungkin selepas ini, Hadi akan cuti lama. Jadi, aku tak balik ke rumah kau. Kami terus balik ke rumah kami.”
Yasmin menaikkan tiga jari membentuk huruf ‘O’. Dia faham kehidupan Alysa dan dia juga tidak kisah. Sebelum Alysa berkahwin, dia dan Alysa tinggal serumah. Walaupun pangsapuri duplex itu hanya mempunyai sebuah bilik, itu tidak menghalang mereka untuk tinggal bersama. Bila Alysa tinggal bersamanya, dapatlah dia mengurangkan sewa bulanan cuma bila Alysa sudah keluar kerana berkahwin, dia perlu mencari duit lebih untuk menampung bahagian Alysa.
“Pengantin mana?” soal Yasmin. Beg pakaian yang dibawa diletakkan di atas katil.
“Abang Megat keluar. Pergi ambil barang untuk beg cenderamata.”
“Tu kereta Abang Megat?”
Alysa menggeleng. Matanya dipicing, sedang memikirkan sesuatu. “Kenapa kau tanya tentang kereta tu?”
Yasmin mengerutkan dahinya. “Kenapa? Aku tak boleh tanya?”
“Tak adalah... Cuma selama ini kau tak minat nak ambil tahu apa yang berlaku di sekeliling kau. Kenapa kau nak tahu pasal Honda tu pula?” soal Alysa. “Sejak bila kau minat orang pakai Honda ni?”
“Astaghfirullah al-azim, kau ni. Bila pula aku cakap aku minat orang pakai Honda? Aku tanya kereta siapa aje.”
Alysa menjelirkan lidahnya. “Tak nak jawab,” ujarnya seraya beredar keluar dari bilik.
YASMIN MENGGELIAT kecil. Usai membersihkan diri, dia tertidur sebentar. Sedar-sedar, jam sudah menunjukkan pukul 4.00 petang. Yasmin mencari telefon pintarnya. Sedari tiba di rumah itu, dia langsung tidak membelek telefon pintarnya. Risau juga jika ada yang cuba menghubunginya.
Yasmin menyelongkar beg galas di sebelah katil. Senyuman terukir bila tangannya menangkap kedudukan telefon pintar. Senyuman itu mati bila telefon pintar itu gelap-gelita.
Yasmin mencari wayar pengecas. Habis semua barang dikeluarkan dari beg galas, namun dia masih tidak menjumpainya. Tika itu, dia baru teringat yang dia terlupa mahu memasukkan wayar tersebut ke dalam beg. Dia sekadar menanggalkan wayar pengecas dari telefon setelah bateri telefon penuh sebelum bertolak ke Melaka.
Yasmin keluar dari bilik. Dia mahu meminjam pengecas daripada Alysa. Dia tidak boleh jika telefon pintarnya mati. Dia perlu berada dalam keadaan yang sentiasa boleh dihubungi. Dia khuatir jika ada klien yang mahu menghubunginya untuk mendapatkan khidmat terjemahan daripadanya.
“Beb...” Yasmin terkedu. Semua mata memandang ke arahnya. Dia meneguk liur yang terasa berpasir. Dia tidak suka bila semua mata memandangnya.
“Beb, meh sini. Tolong kami susun barang dalam beg cenderamata ni.” Alysa yang berada di hujung ruang tamu separa menjerit.
Yasmin tersengih. Mahu atau tidak, dia terpaksa melupakan misi mencari wayar pengecas. Dia tidak mahu terjerit-jerit bertanyakan hal itu kepada Alysa.
“Min, sini.” Kedengaran suara garau memanggil Yasmin.
Yasmin meneguk liur lagi. Pemilik suara itu membuatkan jantungnya berdetak hebat. ‘Ah, kenapalah jantung ni buat hal masa ni!’
Yasmin mengalih pandangannya ke arah pemilik suara.
Megat menepuk-nepuk tempat kosong di sebelah kanannya. Dia mahu Yasmin duduk di sisinya.
Yasmin akur. Lambat-lambat dia mengorak langkah mendekati Megat. Dia perasan di sebelah Megat, ada seorang lelaki sedang memandangnya. Lelaki itu seperti berbangsa Cina. Kulitnya cerah, bermata sepet dan berambut pendek. Bila mata mereka bertentang, lelaki itu cepat-cepat mengalihkan pandangan.
“Nanti Min masukkan dalam beg kertas ni, satu baulu dan satu air kotak. Beg cenderamata yang kita buat ni untuk jemputan. Yang Al buat tu untuk saudara-mara,” ujar Megat sambil menunjukkan demonstrasi.
Yasmin mengangguk laju, tanda faham.
“Abang buka beg ni. Min masukkan dan Noah akan seal beg cenderamata ni,” sambung Megat.
Yasmin mengerutkan dahi. “Noah?”
Megat menepuk dahi. “Lupa pula, abang belum kenalkan kawan abang dekat Min lagi, kan? Maaf. Kenalkan, Noah. Kang No-Ah. Kawan abang masa abang belajar di SNU dulu. Dia…”
“Dia datang sini untuk majlis abang?” sampuk Yasmin. Mustahillah lelaki Korea Selatan ini datang untuk bersiar-siar.
Penerangan Megat terbantut.
“Kebetulan dia ada dekat Malaysia masa abang kahwin ni. Jadi, abang pun jemputlah dia.”
Yasmin mengangguk kecil. Tidak tahu apa yang patut dia buat ketika itu. Lelaki itu tidak mengendahkan kehadirannya walaupun mereka sudah bertentang mata sebentar tadi.
“Hei, Noah!” Megat menyenggol pinggang kawannya. “Adik perempuan aku, Yasmin.”
Megat memperkenalkan Yasmin kepada Noah dalam bahasa Korea.
“Hai!” ucap Yasmin, kekok. Dia menghulurkan tangan untuk berjabat.
Noah mengukir senyum nipis. Tangan kanan diletakkan di dada kiri seraya menunduk sedikit. Setelah itu, dia menyambung kerjanya. Huluran Yasmin dibiarkan tidak bersambut.
Yasmin tersinggung melihat tindakan Noah. Rasa malu dan segan menyerbu wajahnya. Dia cepat-cepat menyembunyikan tangannya.
Megat menepuk lembut bahu Yasmin. “Jangan terasa. Bukan mahram, tak boleh salam.”
“SUDAHLAH TU buat kerja. Meh minum dulu.” Mak Su Timah tiba dengan dulang berisi air Sunquick. Dulang itu diletakkan di meja kopi yang tersedia.
Alysa memanjangkan kaki untuk mendapatkan air tersebut. Dia langsung tidak mempedulikan barangan untuk beg cenderamata yang bergelimpangan. Tindakannya mengundang tawa mereka yang berada di ruang tamu itu.
“Allahuakbar. Kamu ni Al, macam budak-budak,” tegur Mak Su Timah. Sebuah gelas berisi air Sunquick dihulurkan kepada Alysa.
“Dahaga mak. Dahlah Al duduk dekat hujung tu. Angin kipas tak sampai kat situ. Tulah, orang suruh pasang penghawa dingin tak nak.” Sempat lagi Alysa mengomel.
“Kalau pasang penghawa dingin pun, membazir. Mak dan abah aje yang tinggal dekat sini. Nak harapkan kamu dan Megat balik selalu, tidaklah. Dah kahwin ni, lagi susah nak balik kampung.” Mak Su Timah membalas.
Alysa mengerut hidung. “Sibuk kerjalah, mak. Bukan sengaja.”
“Yalah tu. Kamu tu suri rumah. Entah apa yang disibukkannya tu.” Mak Su Timah malas memanjangkan cerita. Tangannya menuangkan air ke dalam semua gelas yang ada.
Alysa tersengih. “Beb, meh sini. Ambil air kau.”
Mata Yasmin membulat bila Alysa memanggilnya. Lambat-lambat dia bangkit dan menuju ke arah Alysa.
“Hah eloklah tu pentingkan kawan daripada abang sendiri. Kalau kawan baik dia dah sampai ni, orang lain semua dia dah tak pandang dah,” perli Megat. Tangannya masih lagi laju menyiapkan beg cenderamata yang ada.
Alysa mencebik.
“Kita sama aje. Kalau Alysa pentingkan Min, abang pun lebih pentingkan Abang Noah, kan?” balas Alysa. Matanya sengaja dijegilkan.
Noah yang berada di sebelah Megat kebingungan bila namanya disebut. Sedari tadi, dia ralit dengan kamera miliknya. Dia mahu memastikan kameranya itu merakamkan detik-detik menyiapkan beg cenderamata untuk majlis perkahwinan masyarakat Melayu.
“Sudahlah kamu berdua ni. Jumpa aje nak gaduh.” Mak Su Timah menggeleng melihat keletah anak-anaknya. “Kalau dekat bergaduh, kalau berjauhan rindu-rinduan.”
Yasmin ketawa kecil. Hati kecilnya terusik. Dia anak tunggal jadi dia tidak pernah berasa bagaimana ada abang. Dia cuma mampu menumpang kasih Megat.
Sehingga kini, dia tidak pasti akan perasaannya. Adakah dia memang menyukai Megat sebagai abang atau sebagai seorang lelaki? Biarpun lima belas tahun sudah berlalu, hatinya tetap berdebar setiap kali telinganya mendengar suara Megat.
“YAY, DAH siap!” laung Alysa sekuat hati. Jumlah jemputan lebih kurang 250 orang, jadi dia terpaksa menyiapkan hampir 300 buah beg cenderamata.
Usai menyiapkan beg cenderamata untuk saudara-mara, dia membantu Megat, Yasmin dan Noah. Kesempatan itu diambil Noah untuk melihat semula rakamannya sebentar tadi.
“Abang, kenapa Abang Noah asyik rakam apa yang kita buat?” soal Alysa, separa berbisik. Dia tidak mahu Noah mendengar soalan itu.
Megat ketawa kecil. Tangannya masih ligat membuka beg kertas.
“Orang tanya, dia ketawa pula,” rungut Alysa. Muncungnya sudah memanjang.
“Memanglah dia nak rakam. Ini bukan budaya dia, dia nak simpan buat kenanganlah tu,” jelas Megat. “Kenapa tanya abang macam tu?”
“Tak adalah. Asyik merakam aje. Dahlah muka Al ni berminyak dan berpeluh sebab siapkan beg cenderamata ni. Nanti kalau dia muat naik dalam saluran YouTube atau Facebook dia, jatuhlah saham Al,” rungut Alysa. Matanya sempat mengerling perilaku Noah.
“Beb, kau dah kenapa? Jatuh saham apanya kalau kau dah kahwin dengan Hadi?” sampuk Yasmin. Dahinya berkerut seribu mendengar kenyataan Alysa. “Kau nak tarik perhatian siapa?”
Alysa tersengih. “Opss, terlupa ada Hadi. Okeylah, aku betulkan ayat. Habislah saham Yasmin. Nanti orang nampak muka dia yang selekeh tu macam mana? Dahlah tak ada orang nak, bertambah tak ada orang nak.”
Pap! Sebiji baulu hinggap di muka Alysa. Alysa tergamam. “Kenapa kau baling baulu ni dekat aku?”
“Mulut tu jaga sikit. Bukan tak ada orang nak aku, aku yang tak nak dekat dia orang.” Hidung Yasmin kembang kempis mengawal perasaan geram. “Lagipun, biarlah aku nak selekeh pun. Orang yang tahu menghargai kecantikan aku aje yang boleh dapat aku.”
Alysa mencebik. “Tenang. Sis gurau aje.”
“Kalau nak gurau, gurau bertempat sikit.” Yasmin memberi amaran. Dia diserbu perasaan malu. Sebolehnya, dia mahu kelihatan sempurna di hadapan Megat walaupun jejaka itu akan berkahwin tidak lama lagi. Bila mendengar bicara Alysa, dia hilang kata-kata. Segan bila dikatakan memilih.
“Min, kenapa baling baulu tu? Kurang dah satu untuk beg cenderamata.” Megat menarik muncung. Sedari tadi, dia diam memerhatikan sahaja keletah Alysa dan Yasmin.
Alysa membesarkan matanya. “Ayok, tak tahu. Dah rugi satu baulu.” Sengaja Alysa mengusik dengan mengajuk.
Yasmin mengetap bibir. Rasa bersalah bila terlanjur membaling baulu tersebut. “Abang Megat, Min minta maaf. Min tak sengaja.”
“Abang bergurau ajelah. Benda dah jadi…”
“Hah!” Tepukan tangan Alysa menarik perhatian Yasmin, Megat dan Noah. “Baulu dah rosak. Maksudnya, kita boleh makan, kan?”
Megat ketawa kecil. Sejak mereka membawa baulu itu ke rumah lewat tengah hari tadi, Alysa banyak kali meminta sebiji untuk merasa tetapi, tidak dibenarkan.
Alysa tersenyum. Dia sudah lama menantikan saat itu. Plastik yang mengandungi baulu itu dikoyak. Baulu yang disalut jem strawberi itu dipatahkan kepada tiga bahagian.
“Tiga bahagian aje?” soal Megat. Dia juga ingin merasa.
“Tiga bahagian aje. Abang tak payah. Yang ni untuk Al, Min dan Abang Noah,” balas Alysa. Setelah mengambil bahagiannya, dia menghulurkan baki baulu itu kepada Yasmin.
Yasmin menyambut huluran Alysa. Setelah itu, dia menyerahkannya kepada Noah yang duduk di sebelah. Noah masih leka melihat rakaman video. Huluran Yasmin membuatkan pandangan jejaka itu terangkat.
“Ambillah. Sedap,” ujar Yasmin dalam bahasa Korea seraya tersenyum. Setelah hulurannya bersambut, dia kembali menikmati bahagiannya.
KOMEN AND PENDAPAT PEMBACA 👇