peringatan

semua hasil penulisan di blog iamhananorisa.com adalah hak milik penulis kecuali dinyatakan sebaliknya.

semua karya iamhananorisa.com yang dipaparkan di blog ini adalah hak milik sepenuhnya Hana Norisa dan syarikat penerbitan. Karya-karya ini dilindungi di bawah Akta Hak Cipta Malaysia.

Hana Norisa dan syarikat penerbitan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang cuba plagiat/copy paste/yang seumpama dengannya.


pihak iamhananorisa.com sentiasa berusaha untuk menghormati hak milik dan hak cipta orang lain, ini termasuk bahan-bahan seperti artikel, gambar, muzik, video atau bahan-bahan lain yang digunakan dalam artikel-artikel atau bahagian dalam laman ini. Sekiranya terdapat sebarang masalah atau pertanyaan mengenai perkara ini, pihak anda boleh hubungi iamhananorisa.com.

[MY BOOK] BAB 6 PASTI ADA KAMU

Blog post description.

PASTI ADA KAMU

Hana Norisa

8 min read

MALAM semakin larut. Seorang demi seorang mulai masuk tidur kerana keletihan. Cenderamata yang masih berbaki dibiarkan di ruang tamu. Mereka akan memasukkannya ke dalam beg pada hari esok. Beg cenderamata yang sudah siap, disusun di satu sudut.

“Kau tak nak masuk tidur ke?” soal Alysa. Dia baru mengambil wuduk untuk solat isyak. Selepas solat isyak, dia bercadang untuk terus tidur.

“Kau masuklah dulu. Aku nak tunggu bateri penuh. Mungkin ada e-mel atau panggilan penting yang aku kena jawab,” luah Yasmin. Sebaik sahaja Alysa meminjamkan wayar pengecas kepada Yasmin, cepat-cepat dia mengecas telefonnya.

“Kau tu tengah bercuti, buatlah cara bercuti. Cuti pun kerja, apa kes?” Alysa menggeleng kecil.

Yasmin mencebik. Ya, cuti memang cuti. Dia memang tidak menyiapkan kerja pejabat sewaktu bercuti, tetapi dia masih ada kerja sebagai penterjemah bebas yang perlu diselesaikan walaupun dia sedang bercuti. Tiada istilah cuti baginya.

“Kenapa kau tak kejutkan aku tadi? Aku ingatkan bungkus beg cenderamata tu mula lepas isyak,” luah Yasmin. Dia tidak berani menyuarakan persoalan itu di hadapan Megat dan keluarga Alysa.

“Kau datang sini untuk menghadiri majlis perkahwinan. Bukannya kena tolong untuk majlis perkahwinan ni. Beza tau. Ada faham?”

“Seganlah aku kalau tak membantu. Aku balik awal sebab nak membantu,” luah Yasmin.

“Memanglah kau boleh membantu tapi bukan kewajipan. Lagipun, barang-barang tu sampai awal. Kami buatlah awal. Malas nak kacau kau tidur. Kisahnya, kalau kau bangun, kau tolong. Kalau kau tak bangun sampai isyak, tak perlu tolong,” ujar Alysa.

Yasmin melepaskan keluhan kecil.

“Dahlah. Aku mengantuk. Nak solat dan tidur. Selamat malam!” ucap Alysa seraya melangkah masuk ke dalam bilik.

Yasmin mengangguk kecil. Dia mengerling ke arah telefon pintar. Peratusan bateri naik ke 50%. Yasmin segera menghidupkan telefon pintarnya. Seperti jangkaannya, berlumba mesej masuk ke ruangan aplikasi WhatsApp miliknya. Selain pemberitahuan mesej masuk, ada 55 panggilan tidak dijawab yang diterima daripada seseorang.

Yasmin membuka pemberitahuan tersebut. Dia menggigit bibir. Cepat-cepat dia mendail nombor tersebut.

“Malam, mama…” ujarnya, lambat-lambat.

“Min ke mana ni? Berpuluh kali mama telefon, tak berangkat. Min okey aje, kan?” soal Puan Maria. Dia risau bila tidak dapat menghubungi anak gadisnya itu. Dia tahu anaknya sudah tiba di Melaka.

“Min okey. Tak perasan bateri habis. Sibuk sikit,” luah Yasmin.

“Min ke mana sampai lupa nak cas telefon ni?” soal Puan Maria. Jam di dinding bilik menunjukkan pukul 10.00 malam.

“Min tolong siapkan beg cenderamata. Terleka kejap sampai lupa nak cas telefon.”

Puan Maria menggeleng. Yasmin kalau leka dengan kerja memang begitu. Dia akan lupa dengan semua orang.

NOAH TIDAK dapat melelapkan mata. Kamera Sony ZV1 miliknya dicapai. Dia melihat-lihat gambar yang dirakamnya sepanjang dia berada di kampung itu. Sejak hari pertama dia tiba, dia tidak melepaskan peluang untuk merakam apa sahaja yang menarik perhatiannya.

Sedang asyik membelek gambar yang ada, pandangannya terhenti pada sebuah video. Bibirnya mengukir senyuman. Tidak menyangka gadis berhijab yang berjaya mencuri perhatiannya di Kafe Triple C itu kini berada di hadapannya.

Bunyi dengkuran halus Megat, membuatkan dia panik. Dia segera mematikan video tersebut. Komputer riba dikeluarkan untuk memindahkan semua gambar dan video yang ditangkap dan dirakam. Sebuah buku nota turut terkeluar dari beg itu.

Noah tersenyum. Buku nota itu milik Hanna, adiknya. Demi memberikan semangat agar dia kembali menulis, adiknya telah menyiapkan sebuah buku yang dipanggil jurnal penulisan. Kata-kata Hanna terngiang-ngiang di telinga.

“Abang kena tulis dalam buku ni. Hanna dah tuliskan writing prompt untuk abang menulis setiap hari. Contohnya, muka surat ni. Kenangan percutian terindah masa kecil. Abang tulis apa perasaan abang ketika itu, tak kisahlah kisah benar atau rekaan.”

“Orang sekarang tak pakai tulisan tanganlah, Hanna. Orang sekarang taip terus dekat komputer.” Noah mengusik adiknya.

“Abang... suka atau tak, abang kena buat juga. Tulisan tangan ni banyak manfaatnya. Jangan banyak alasan. Pastikan dekat kampung kawan abang, tetap tulis biarpun sebaris ayat. Kita kena latih tangan dan minda abang untuk menulis. Keluarkan ayat dan idea.” Hanna tegas dengan keputusannya. “Abang di kampung selama lima hari, jadi Hanna nak bila abang balik ke sini, lima writing prompt dah selesai.”

“Eric pun tak garang macam ni.” Sempat Noah merungut. Dia teringat akan kawan baiknya, Park Eric, yang berada di Seoul, Korea Selatan.

“Park Eric tu kawan baik abang. Mana berani nak garang dengan abang. Hanna, adik abang. Hanna boleh marah abang. Dengar cakap Hanna kalau abang nak menulis semula.”

Noah mencebik. Dia tahu niat adiknya baik. Meskipun begitu, dia sudah pasrah. Dia sudah kehilangan sentuhan untuk menulis. Jika dulu dia boleh membuatkan semua orang tersentuh dengan tulisannya, kini semuanya sudah hilang.

Bunyi suara orang berbual di luar bilik membuatkan lamunannya terhenti. Noah segera menghampiri pintu bilik. Matanya sempat melihat Megat yang sedang lena dibuai mimpi.

Writing prompt yang seharusnya ditulis hari itu membuatkan dia tersenyum. Noah mengeluarkan sebatang pen hitam dari poket beg. Pemasa selama 3 minit dihidupkan dan dia mula melorek sebaris ayat. Sebuah idea menerpa benaknya untuk menyiapkan tajuk writing prompt hari tu.

ALYSA DAN Yasmin merendamkan kaki mereka di pinggir sungai. Mereka berbual sambil menikmati pemandangan alam sekitar pagi itu. Mereka tidak akan dapat merasa suasana seperti itu jika berada di bandar. Sementara Noah dan Megat lebih senang berbual di atas jambatan tidak jauh dari tempat Alysa dan Yasmin duduk.

“Kau dapat cuti berapa lama kali ni?” soal Alysa. Biarpun dia menumpang di rumah Yasmin sebelum pulang ke kampung, dia tidak pernah bertanyakan hal itu. Yasmin bukannya suka bercerita tentang kehidupannya jika tidak ditanya.

“Lima hari,” balas Yasmin. Kakinya memukul air sungai. Dia suka bila kedinginan air sungai memeluk kakinya.

“Lima hari?” Alysa mengira dengan jari. “Semalam baru sehari kau dekat sini. Kau duduk dekat sini sampai hari ketiga abang kahwin?”

“Aku cuti lima hari tapi hari ni hari ketiga aku cuti. Aku balik sampai hari kenduri Abang Megat. Petang tu kena balik rumah. Nak siapkan kerja penterjemahan aku.”

“Kau ni, gaji dekat Yusaira dah berkepuk. Masih nak buat kerja sambilan? Duit kau tak pernah cukup, kan?” soal Alysa, pelik. Dia tahu Yasmin gila kerja dan sedang bekerja keras untuk membayar balik bantuan kewangan yang diberikan Yusaira Publication.

“Jadi editor dekat Yusaira memang lumayan, tapi tak cukup lumayan untuk aku langsaikan hutang aku dengan keluarga tu,” ujar Yasmin.

“Beb, seingat aku, itu biasiswa. Kau cuma kena kerja dengan Yusaira selama sepuluh tahun. Selepas itu, kau tak ada hutang. Kira dah langsai. Kenapa kau beria nak cari duit lebih?” soal Alysa. Dia tidak faham rasional pemikiran Yasmin.

“Biasiswa tu untuk pelajaran aku. Kos yang aku guna sepanjang aku tinggal di situ pun banyak. Belum lagi ditambah dengan perbelanjaan mama aku dekat rumah tu. Aku kena bayar semua tu. Kalau tak, tak mustahil satu hari nanti, mereka akan ungkit semua tu.”

“Maksud kau?” Alysa mengerutkan dahinya.

“Aku tak nak sampai mereka gunakan hutang tu untuk paksa aku buat sesuatu yang aku tak suka,” sambung Yasmin.

“Contohnya?”

Yasmin menjongket bahu. “Kalau aku tahu pun, aku tak nak cakap. Aku takut mulut aku masin. Aku tak nak apa yang aku fikir jadi kenyataan.” Yasmin melepaskan keluhan halus.

KAMERA MILIKNYA dihalakan ke arah air terjun yang sedang mengalir. Bunyi desiran air terjun yang menghempas pada batu-batu sekitarnya turut dirakam ke dalam video. Dia suka dengan suasana seperti itu. Dia berasa tenang.

“Macam mana kehidupan dekat sini?” soal Megat. Dia mengerling ke arah Noah yang masih ralit merakam keadaan sekeliling.

Soalan Megat membuatkan tindakan Noah berhenti. Dia memandang ke arah Megat yang sedang melemparkan pandangan ke satu sudut. Megat sedang memandang Yasmin dan Alysa dari jauh.

“Maksud kau?” soal Noah. Dia tidak faham dengan soalan Megat.

“Yalah. Datang kat kampung aku. Menikmati alam sekitar. Ada ilham yang datang ke?” soal Megat. Walaupun dia mahir menggunakan bahasa Korea, dia lebih selesa berbual dengan Noah dalam bahasa Melayu. Lebih-lebih lagi, Noah fasih bertutur dalam bahasa Melayu.

“Tak ada beza suasana kampung di sini dengan sana. Orang tuanya masih suka bergosip. Anak mudanya lebih suka cara hidup orang bandar. Masih sama.” Noah menyatakan pemerhatiannya.

“Bezanya Yasmin hanya ada di kampung ini dan Iseul ada di Busan,” sampuk Megat. Empat belas tahun berkawan dengan Noah cukup membuatkan dia tahu sejarah percintaan Noah. Bagaimana Noah mencintai seorang gadis bernama Iseul dan bagaimana gadis itu mengecewakan hati sahabatnya itu.

Noah mengerut dahi bila nama Yasmin disebut. “Apa kena mengena dengan Yasmin?”

“Cara kau pandang Yasmin sama macam cara kau pandang Iseul,” luah Megat.

“Macam mana cara aku pandang Iseul?” soal Noah. Mata Megat dipandang, mengharapkan jawapan.

Megat tersengih. Tangannya laju menepuk bahu Noah. “Yasmin bukan macam kebanyakan gadis yang kau jumpa. Orang kata dia pentingkan diri tapi bagi aku, itu adalah cara dia melindungi hati dia daripada dikecewakan.”

Noah menghela nafas kasar. Dia tidak faham mengapa Megat harus bercerita tentang Yasmin kepadanya. Nada Megat kedengaran resah. Ada sesuatu yang mengganggu fikiran sahabatnya itu. “Kenapa kau cerita pasal dia dekat aku? Aku kenal dia pun tak.”

Megat tersenyum senget. Dia sendiri tidak tahu mengapa, tetapi dia selesa bercerita tentang Yasmin dengan Noah, berbanding dengan Eric. Mungkin kerana Noah memahami budaya di Malaysia berbanding Eric. Matanya masih memandang Yasmin. Gadis itu sedang tersenyum. Walaupun begitu, dia yakin jauh di sudut hati Yasmin, gadis itu masih berduka.

“Kau… suka Yasmin?” tebak Noah. Hatinya berdebar untuk melihat balasan Megat. Jika Megat mengangguk, benarlah Yasmin adalah insan yang pernah membuatkan Megat sasau sepanjang mereka menuntut di negara kimchi itu.

Megat mengukir senyuman nipis. Dia tidak mengangguk, juga tidak menggeleng.

Lima belas tahun yang lalu...

YASMIN MELARIKAN diri ke sebuah kelas kosong. Dia tidak mahu dijumpai sesiapa hatta Alysa sekalipun. Kejadian sebentar tadi membuatkan hatinya sebal. Kata-kata daripada rakan sekelas menyebabkan dia dihempap rasa malu. Akhirnya, dia ke situ. Menangis.

Yasmin menekup muka menggunakan kedua-dua telapak tangan. Dia menangis teresak-esak. Hatinya terluka bagaikan disiat-siat dengan pisau yang tajam.

Setelah sedihnya berkurangan, dia mengangkat muka seraya membuang pandangan ke luar tingkap. Kelas itu berhampiran dengan kawasan padang. Dia tersenyum saat melihat pelajar-pelajar yang sedang asyik bermain bola.

“Senyum pun.” Kedengaran suara seseorang dari arah meja belakang. Yasmin menoleh. Kelihatan Megat sedang tersenyum ke arahnya.

“Abang buat apa dekat sini?” soal Yasmin, terperanjat. Dia tidak sedar dalam kelas itu ada Megat, abang kepada Alysa, kawan baiknya. Sangkanya kelas itu kosong ketika dia berlari masuk tadi.

“Abang dah lama dekat sini. Tidur. Tapi terjaga lepas Min masuk.” Megat berterus-terang. Wajah Yasmin, anak kepada teman baik ibunya itu diperhatikan. Gadis yang berbeza sebanyak tiga tahun daripada umurnya itu senantiasa membuatkan tidur malamnya tidak lena. Cuma, gadis itu sukar untuk didekati.

Yasmin menyeka sisa air mata yang masih ada di pipi. Dia malu bila Megat melihatnya menangis. Dia tidak pernah menangis di hadapan ibunya, apatah lagi di hadapan seorang lelaki yang dia tidak kenali dengan rapat.

Megat masih tersenyum. Sepanjang mengenali Yasmin, dia tidak pernah melihat gadis itu menangis.

Biarpun begitu, riak gadis itu masih tenang. Dan hari ini, adalah hari pertama dia melihat gadis itu menitiskan air mata. Rupanya, gadis berhati dingin yang disukainya itu masih mempunyai perasaan.

“Kenapa Min menangis? Ada orang ejek Min?” Megat memberanikan diri bertanya. Sejak Yasmin berpindah ke St Davis High School, banyak cerita yang tidak enak sampai ke telinganya. Megat mengeluarkan sapu tangan lalu dihulurkan kepada Yasmin.

Yasmin hanya diam. Huluran itu dibiarkan tidak bersambut. Dia juga tidak menjawab. Sebolehnya, dia tidak mahu ingat tentang perkara yang menyakitkan hatinya itu. Dia berpaling menghadap padang seraya memejamkan mata. Buat seketika, dia rasa tenang.

Suara Megat mulai hilang daripada pendengaran. Yasmin membuka mata. Kelihatan Megat juga sedang memejamkan mata. Dia tersenyum. Jejaka itu setia menemaninya sehingga loceng menandakan waktu rehat tamat, berbunyi.

KOMEN AND PENDAPAT PEMBACA 👇