Dapatkan karya terkini Hana Norisa - Pasti Ada Kamu melalui Penerbitan AHA di talian www.wasap.my/601111421801/PASTI
peringatan
semua hasil penulisan di blog iamhananorisa.com adalah hak milik penulis kecuali dinyatakan sebaliknya.
semua karya iamhananorisa.com yang dipaparkan di blog ini adalah hak milik sepenuhnya Hana Norisa dan syarikat penerbitan. Karya-karya ini dilindungi di bawah Akta Hak Cipta Malaysia.
Hana Norisa dan syarikat penerbitan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang cuba plagiat/copy paste/yang seumpama dengannya.
pihak iamhananorisa.com sentiasa berusaha untuk menghormati hak milik dan hak cipta orang lain, ini termasuk bahan-bahan seperti artikel, gambar, muzik, video atau bahan-bahan lain yang digunakan dalam artikel-artikel atau bahagian dalam laman ini. Sekiranya terdapat sebarang masalah atau pertanyaan mengenai perkara ini, pihak anda boleh hubungi iamhananorisa.com.
[MY BOOK] BAB 7 PASTI ADA KAMU
Blog post description.
PASTI ADA KAMU
Hana Norisa
9 min read
KESEJUKAN air sungai langsung tidak membantutkan perbualan dua sahabat itu. Daripada sebuah topik, mereka beralih ke topik yang lain. Kesempatan dapat berbual sambil diiringi bunyi air terjun dan bunyi-bunyian alam dikecapi selagi boleh.
“Kau tak sedih ke abang nak kahwin?” Alysa menukar bentuk soalannya. Dia sudah lama mahu bertanyakan soalan itu.
“Kenapa aku kena sedih? Patutnya aku gembira, kan?” Yasmin mengerutkan dahinya. Tidak faham dengan soalan Alysa.
“Beb, aku sebenarnya… dah lama nak tanya soalan ni dekat kau. Cuma aku tak tahu macam mana nak tanya.” Alysa membuka bicara. Dia cuba mencari ayat yang sesuai supaya Yasmin tidak terasa dengan soalannya.
Yasmin memandang Alysa, pelik.
“Ingat tak aku pernah tanya dekat kau, apa ciri-ciri lelaki yang kau cari?” soal Alysa.
Yasmin mengangguk. “Kenapa?”
“Adakah penyebab untuk kau tolak semua lelaki yang hadir termasuk Shahrul dan Dzarif adalah kerana perasaan kau dekat abang?” Mata Alysa masih memandang Yasmin. Dia mahu melihat reaksi Yasmin.
Yasmin ketawa kecil. “Kau ni… aku rasa kau banyak sangat tengok K-drama.”
Hidung Alysa kembang kuncup. Tangannya laju mencubit paha Yasmin.
“Sakitlah!” aduh Yasmin. Tempat cubitan digosok berkali-kali.
“Aku serius ni.” Alysa memuncungkan bibir.
Yasmin menghela nafas panjang. “Aku pun serius. Aku anggap Abang Megat tu macam abang aku sendiri. Mustahillah aku ada perasaan dekat dia.”
“Tapi dia abang aku, bukan abang kau. Darah kau dengan dia pun lain. Mustahil kau boleh anggap dia macam abang kau sendiri.” Alysa berdalih. “Kau betul-betul tak suka abang?”
Yasmin mengerut dahi. Getaran hati cuba dikawal. Dia tidak mahu pengakuannya memberi kesan kepada Alysa dan perkahwinan Megat tak lama lagi. “Kenapa kau tiba-tiba tanya soalan ni?”
Alysa menjongket bahu. Dia tidak tahu kenapa, tetapi dia yakin Yasmin sukakan abangnya. Bila Yasmin dan Megat saling berpandangan, dia dapat rasakan satu perasaan yang tak terungkap. Sebab itu, dia mahu mencarikan calon untuk Yasmin. Dia mahu Yasmin melupakan abangnya.
“WAH, BORAK apa yang serius sangat tu?” Kehadiran Megat dan Noah membantutkan perbualan Alysa dan Yasmin. Megat melabuhkan punggung di sebelah Yasmin.
Yasmin membetulkan tudung. Dia tidak tahu bagaimana mahu bereaksi bila Megat duduk di sebelahnya. Jantungnya berdegup laju.
Alysa gigih cuba naik untuk duduk di batu berdekatan. Dia terjatuh bila disergah Megat sebentar tadi.
“Mengumpat pasal abang,” ujar Alysa. Mukanya cemberut marah. Bajunya sudah lencun terkena air.
“Hah, mengumpatlah lagi. Tu yang bila kena sergah sikit, jatuh dalam air tu,” sambung Megat.
Alysa menghulurkan tangan meminta bantuan namun tidak diendahkan Megat. “Abang!”
Megat ketawa besar. Melihat muka cemberut adiknya, dia menghulurkan tangan untuk membantu Alysa naik.
Alysa memberi isyarat mata kepada Yasmin. Dia mahu Yasmin membantunya untuk menolak Megat masuk ke dalam sungai.
Yasmin tersenyum. Belum sempat Megat terjatuh, tangan Megat lebih pantas menarik Yasmin masuk ke dalam sungai.
“Abang!” Yasmin menjerit kegeraman.
“Siapa suruh berpakat dengan Al untuk kenakan abang?” Megat enggan mengalah.
“Benci abang.” Yasmin masih geram. Dia sudahlah mudah terkena demam jika terlalu sejuk.
Sedang mereka asyik bertelagah, bunyi ketik kamera membuatkan pandangan mereka terkalih. Kelihatan Noah sedang merakamkan kejadian sebentar tadi.
“Aku rasa nak tarik mamat ni basah sekali.” Yasmin menyuarakan suara hatinya. Geram bila Noah menangkap gambar mereka dalam keadaan seperti itu.
“Idea bernas Min.” Megat menyokong seraya berbisik. “Al, kami tarik dia ke dalam sungai. Al ambil kamera dia, okey?”
“Okey.” Alysa menyatakan persetujuan.
“Noah, tolong aku.” Megat menghulurkan tangan untuk naik.
Noah akur. Dia menghulurkan tangan untuk menarik Megat naik. Saat itu, Yasmin memegang tangan Megat untuk membantu menarik Noah.
Mata Noah membulat besar. Tidak sangka yang Megat dan Yasmin akan menariknya ke dalam sungai. Tangan kanan dinaikkan ke atas. Dia mahu menghalang kamera miliknya daripada jatuh ke dalam air. Malang tidak berbau bila kamera itu turut terendam bersama dengan Noah.
Mereka tergamam bila melihat keadaan itu. Masing-masing menunggu reaksi Noah.
Muka Noah merah padam. Dia segera memeriksa semua gambar yang berada dalam kamera miliknya itu.
“Kau okey?” soal Megat dalam bahasa Korea seraya bergerak mendekati Noah. Risau juga jika kamera sahabatnya itu rosak.
Alysa mengetap bibir. Dia memang mahu menyelamatkan kamera Noah. Tindakan Noah yang kejap memegang kamera itu telah menggagalkan misinya.
“Nasib baik semua gambar selamat,” ujar Noah seraya menarik nafas lega. “Nasib baik kamera ni kalis air.”
Sepatah ayat daripada Noah membuatkan Megat dan Yasmin menarik nafas lega. Alysa pula kebingungan. Biarpun dia meminati K-drama, dia belum mahir memahami bahasa itu tanpa sari kata. “Beb, apa yang dia cakap?”
“Dia cakap...” Baru Yasmin ingin menterjemah, mata mereka menangkap tindakan Megat.
“Aish!” Megat kegeraman. Dia menghampiri Noah sebelum menumbuk air di hadapan Noah.
Serentak itu, muka Noah dipercik air. Geram diperlakukan seperti itu, dia turut menyimbah air ke wajah Megat diiringi tawa. Lucu bila mengenangkan apa yang berlaku sebentar tadi. Wajah pucat semua orang membuatkan hatinya bagai digeletek.
MAK SU TIMAH mengerling jam di dinding. Matahari sudah terpasak tegak di atas kepala. Pihak perancang majlis perkahwinan sudah datang untuk memasang khemah. Selepas majlis akad nikah dan kenduri di sebelah pihak perempuan esok, mereka akan mengadakan majlis menyambut menantu di sebelah pihak lelaki pula.
Sedang asyik memerhatikan pihak perancang majlis perkahwinan membuat kerja mereka, Mak Su Timah terpandangkan empat kelibat yang muncul di pekarangan rumah. Dia bangkit daripada duduk dan menuju ke arah mereka berempat. Ternganga mulut Mak Su Timah melihatkan keadaan Yasmin, Alysa, Megat dan Noah.
“Astaghfirullah al-azim, kenapa basah lencun ni?” Mak Su Timah menyoal seraya bercekak pinggang. Kepalanya menggeleng melihat mereka berempat. “Kalau Si Noah ni mak fahamlah. Ni yang mak tak faham, kenapa bakal raja sehari pun lencun?”
Megat tersengih. Dia menggaru kepalanya yang tidak gatal.
“Kamu jangan macam-macam, Megat. Esok kamu nak menikah. Jangan masa nikah kamu nak demam bagai. Pergi naik. Mandi air panas,” arah Mak Su Timah. Tangannya mengarah ke dalam rumah.
“Baik, mak.” Megat akur. Dia melangkah naik ke atas rumah.
“Bawa Noah ni sekali,” arah Mak Su Timah.
Megat memegang lengan Noah. “Jom mandi.”
Noah akur. Langkah Megat dituruti.
“Kamu berdua ni pula kenapa basah lencun macam ni? Kamu terjun sungai dengan abang kamu?” soal Mak Su Timah. Matanya memandang tepat ke arah Alysa.
“Abang yang tolak Al. Al cuma balas dendam aje!” Alysa tarik muncung.
Mak Su Timah menggeleng laju. “Abang kamu tu nak nikah dah esok. Kalau demam satu hal. Pergi mandi. Lepas tu, buatkan air panas untuk abang kamu.”
“Yalah.” Mahu atau tidak, Alysa terpaksa akur. Dia melangkah longlai menuju ke bilik.
“Min terjatuh dalam air sungai sebab masa Al nak kenakan Abang Megat, Abang Megat tarik Min sekali.” Tanpa disuruh, Yasmin menjelaskan duduk sebenarnya.
“Mak su tak tanya kamu pun, Min. Mak su tahu kalau kes macam ni, mesti angkara dua beradik ni. Dah besar tapi perangai macam budak-budak.” Mak Su Timah melepaskan keluhan kecil. “Pergilah naik. Bersihkan diri. Nanti kamu demam susah pula. Mama kamu tu dahlah jauh. Risau pula dia nanti.”
Yasmin senyum kecil. “Terima kasih, mak su.”
Mak Su Timah mengusap ubun-ubun Yasmin. Anak gadis itu walaupun tampak tidak berperasaan, ada duka bersarang dalam hati. Sebab itu, dia tidak mahu memarahi gadis itu. Yasmin pulang untuk menghadiri majlis itu pun dia sudah cukup gembira.
CEREK MENJERIT menandakan air sudah masak. Api dapur dimatikan. Serentak itu, bunyi yang dihasilkan cerek mulai perlahan. Dia mengambil cerek tersebut. Air panas daripada cerek dituang ke dalam teko yang berisi serbuk Milo dan susu.
“Mak aku tak adil. Kalau ada kau, lembut aje layan kau. Kalau dengan aku, muka ketat aje nak marah.” Alysa membebel seorang diri. Tangan laju mengacau campuran Milo, susu dan air panas.
Yasmin buat tidak dengar. Dia leka dengan iPad. Kelihatan dia sedang mencatat sesuatu menggunakan pensel iPad. Dia sedang cuba mencari maksud untuk perkataan tulisan hangeul yang tidak difahaminya sebagai latihan.
“Wah, tulisan hangeul.” Teguran seseorang dari arah belakang membuatkan pandangan Yasmin terkalih. Megat mengambil tempat di hadapan Yasmin.
“Kau terjemahkan bahasa Korea pula ke sekarang, Min?” soal Alysa. Alysa memang tahu Yasmin pandai membaca tulisan hangeul cuma dia tidak tahu sekiranya Yasmin ada mengambil upah untuk menterjemahkan bahasa itu. “Ada permintaan ke?”
Yasmin menggeleng laju. Dia tidak tahu apa alasan yang patut dia cipta. Itu adalah rahsia dia dan Alysa. Megat tidak tahu yang dia boleh menggunakan bahasa Korea. Kalaulah Megat tahu yang dia ambil kelas bahasa Korea kerana mahu melanjutkan pelajaran ke Seoul National University (SNU) juga, pasti dia malu. Hajat yang tidak kesampaian.
“Abang tak tahu Min tahu membaca tulisan hangeul. Mengagumkan,” puji Megat. “Ni mesti sebab Alysa, kan?”
Yasmin mengerut dahi. Tidak faham mengapa Megat berkata sedemikian. “Kenapa abang fikir macam tu?”
“Mungkinlah terpengaruh dengan Al ni. Dia ni minat segalanya tentang Korea Selatan. K-pop, K-drama, K-culture, K-food… banyak lagilah. Masa abang belajar kat sana, pantang abang cuti kena bawa balik album K-pop dari sana,” luah Megat.
“Paling terkini, tengok kat atas meja solek dia. Penuh dengan produk penjagaan kulit dari sana. Muka ada satu aje, produk bukan main banyak,” sambung Megat.
Alysa menghampiri meja bersama bancuhan Milo. Dia tersengih. “Ombak Korea Selatan sentiasa mendominasi hidupku.”
Yasmin ketawa kecil. “Perempuan ni minat sangat sampai hampir setiap hari dia masak makanan Korea dekat rumah tu. Kimchi jjigae, bibimbap, bulgogi dan banyak lagi,” luah Yasmin. Bibirnya tergelak mengingatkan kegilaan Alysa yang satu itu.
“Syukurlah dia tak kahwin dengan orang Korea Selatan. Kalau dia kahwin dengan orang Korea Selatan, pengsanlah abang.” Megat memerli adiknya.
Alysa memicingkan mata. Geram melihat sahabat baik dan abangnya mengumpat secara terang-terangan. “Kau tak jawab soalan aku lagi. Ada permintaan ke dekat Malaysia untuk karya bahasa Korea ke bahasa Melayu?”
Yasmin mengangguk. “Setakat ini, kebanyakan buku bahasa Korea banyak diterjemahkan ke bahasa Inggeris dan bahasa Indonesia.”
“Aku ingatkan permintaan banyak kepada drama dan lagu. Tak sangka ada permintaan untuk bahan bacaan.” Alysa meletakkan dulang berisi Milo itu di atas meja.
“Sebagai salah seorang peminat barangan dari negara Korea Selatan, kalau ada terjemahan novel atau bahan bacaan daripada bahasa Korea, kau akan beli?” soal Yasmin.
“Semestinya. Kalau ada pilihan antara membaca buku terjemahan ke bahasa Inggeris dan bahasa Melayu, aku akan pilih bahasa Melayu,” luah Alysa.
“Sebab?”
“Bahasa Melayu bahasa ibunda aku. Aku membesar dengan bahasa Melayu. Jadi, tak salah rasanya kalau aku nak baca buku bahasa Melayu, kan? Bahasa Melayu lagi dekat dengan jiwa aku bila aku baca buku.”
Yasmin tersenyum nipis. Itulah apa yang berada dalam fikirannya.
“Jadi, betullah kau akan terjemahkan novel bahasa Korea ke bahasa Melayu?” Alysa mengulang kembali soalan itu.
Yasmin menggeleng. “Belum sampai tahap tu. Aku tahu baca tak semestinya aku pandai menterjemah. Masih merangkak memahami maksud ayat.”
“Kalau Min baca buku atau ayat daripada bahasa Korea dan tak faham, Min boleh tanya abang atau tanya dekat Noah. Lagi baik, kalau tanya Noah sebab dia Korea Selatan asli, mesti tahu konotasi ayat tu sampai ke tidak bila diterjemahkan ke bahasa Melayu. Dia bukannya ada kerja pun, datang sini untuk bercuti. Kacau aje dia sementara boleh.”
“Noah tahu bahasa Melayu?” soal Yasmin. Dia tidak pernah mendengar jejaka itu bertutur dalam bahasa Melayu.
“Awak baca buku bahasa Korea?” Kedengaran seseorang bertutur dalam bahasa Korea dari arah pintu dapur.
Megat mengukir senyuman. “Panjang umur. Nanti tanya sajalah dekat Noah ni.”
“Tak apa. Belum ada niat ke arah tu.” Yasmin menidakkan soalan Megat. Dia belum terfikir mahu menterjemahkan karya daripada bahasa Korea secara serius. Jika betul Yusaira Publication mahu menterjemahkan karya itu, dia akan menyarankan agar mereka mencari penterjemah yang bertauliah dalam bahasa Korea.
Noah mengambil tempat di sebelah Megat. Cawan berisi Milo diambil lalu disisip.
“Noah, awak orang Korea Selatan, kan? Mungkin ke awak kenal atau tahu penulis berbangsa Korea yang menggunakan nama Nameless?” soal Yasmin dalam bahasa Korea. Tumpuannya terkalih kepada Noah. Mungkin masa inilah dia dapat mengorek rahsia penulis Malaysia-Korea yang baru diketahuinya itu. Rahsia yang mungkin penduduk Korea Selatan sahaja yang tahu.
Noah tersedak mendengar soalan Yasmin.
Alysa yang berada berhadapan dengan Noah kelam-kabut mencari tisu. Dia panik bila tiba-tiba Noah tersedak.
“Maaf, Milo ni panas.” Noah meminta maaf. Dia mengelap sisa Milo yang berada di mulut dan meja. “Apa soalan awak tadi?
“Kenapa dengan penulis tu?” sampuk Megat. Dia langsung tidak mempedulikan apa yang berlaku kepada Noah. Dia lebih berminat dengan soalan Yasmin. Kalau Yasmin bertanya, pastinya hal itu adalah sesuatu yang menarik untuk Yasmin.
“Saja tanya.” Yasmin tidak mahu mengulas. Buku karya penulis itu pun dia belum dapat jadi bagaimana dia mahu menilai.
Pandangan Noah masih jatuh kepada Yasmin. Sesekali, dia melirik ke arah Megat.
“Dia tanya tentang penulis bernama Nameless. Kau tahu apa-apa mengenai penulis tu?” Megat mengulang soalan Yasmin. Dia memang sengaja menggunakan bahasa Korea bila bercakap dengan Noah sekiranya di hadapan ahli keluarga. Itu adalah permintaan Noah sendiri. Noah tidak mahu orang tahu dia mahir menggunakan bahasa Melayu. Cukuplah mereka sekeluarga sahaja yang tahu.
Bibir Noah terkunci. Dia tidak tahu apa yang harus dia katakan.
“Kenapa Min tanya? Mana Min tahu pasal penulis tu?”
“Min ada baca beberapa artikel pasal penulis tu. Tak sangka, dia penulis yang agak terkenal di sana. Dia closet writer, kan?” Yasmin cuba memancing.
“Entah apa yang dia malu sangat nak tunjuk muka dia pun tak tahulah.” Megat sempat mengutuk. “Abang ada koleksi buku dia. Min nak baca?”
“Seriuslah abang ada buku dia?” Mata Yasmin membulat. “Min nak pinjam. Ada dekat bilik ke? Min ada beli tapi penghantaran dalam masa 14 hari. Lambat lagi nak sampai.”
“Ada. Tapi sampai buku keenam sahaja. Buku yang terakhir tu, abang tak ada,” sambung Megat.
Yasmin menghembus kasar nafasnya. “Buku dia yang terakhir tu memang susah nak cari, kan? Puas Min cuba cari tapi tak dapat.”
Megat tersenyum nipis. “Buku tu dikatakan penyebab dia menghilangkan diri daripada dunia penulisan. Buku tu ada kisah yang tersendiri dan cuma ada cetakan pertama sahaja.”
“Tapi, maklum balas pembaca mengatakan buku tu menarik. Buku genre cinta pertama yang dia tulis. Ada yang kata kisahnya menyayat hati. Kenapa tak lepas cetakan seterusnya? Orang Korea Selatan tak suka buku tu? Yang komen novel tu menarik, majoriti adalah orang Korea Selatan sendiri,” luah Yasmin.
Megat tersenyum senget. “Erm, kau rasa kenapa Noah?”
Noah tersentak bila disoal. Sedari tadi, dia asyik mengelamun. Entah apa yang difikirkan dia sendiri tidak tahu.
“Kawan abang ni memang suka mengelamun ke?” soal Yasmin, berbisik. “Kalau tak mengelamun mesti air Milo tu tak tumpah tadi.”
Noah mengetap bibir. Dia tersinggung dengan kata-kata Yasmin namun dia diamkan sahaja. Dia tidak mahu gadis itu tahu yang dia memahami bahasa Melayu.
Megat mengulum senyum. Dia tahu Noah terasa. Mungkin sahabatnya itu perlu diperli untuk sedar.
KOMEN AND PENDAPAT PEMBACA 👇