peringatan

semua hasil penulisan di blog iamhananorisa.com adalah hak milik penulis kecuali dinyatakan sebaliknya.

semua karya iamhananorisa.com yang dipaparkan di blog ini adalah hak milik sepenuhnya Hana Norisa dan syarikat penerbitan. Karya-karya ini dilindungi di bawah Akta Hak Cipta Malaysia.

Hana Norisa dan syarikat penerbitan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang cuba plagiat/copy paste/yang seumpama dengannya.


pihak iamhananorisa.com sentiasa berusaha untuk menghormati hak milik dan hak cipta orang lain, ini termasuk bahan-bahan seperti artikel, gambar, muzik, video atau bahan-bahan lain yang digunakan dalam artikel-artikel atau bahagian dalam laman ini. Sekiranya terdapat sebarang masalah atau pertanyaan mengenai perkara ini, pihak anda boleh hubungi iamhananorisa.com.

[MY BOOK] BAB 8 PASTI ADA KAMU

Blog post description.

PASTI ADA KAMU

Hana Norisa

8 min read

SEMUA orang sudah mula masuk tidur awal memandangkan mereka akan ke rumah pengantin perempuan pada keesokan hari. Yasmin masih lagi duduk di ruang tamu. Dia tidak dapat melelapkan mata. Dia tidak sabar untuk membaca karya penulis yang dikatakan memiliki gaya penulisan seperti idolanya itu.

Yasmin menyusun semua karya Nameless di atas meja kopi. Dia tahu, dia tidak akan mampu menghabiskan bacaannya malam itu namun dia gembira bila dapat melihat kesemua buku itu. iPad miliknya diletakkan berdekatan. Dia akan menggunakan Google Translate untuk menterjemahkan ayat yang dia tidak faham.

Yasmin mencapai karya pertama Nameless yang bertajuk A Night to Remember. Dia sukakan kulit buku tersebut. Lembut seperti baldu. Halaman pertama diselak. Matanya membaca daripada baris pertama sehinggalah dia tidak sedar malam semakin menginjak ke pukul 3.00 pagi.

Bunyi pintu bilik dibuka, langsung tidak mengganggu pembacaannya. Dia tenggelam dalam dunia ciptaan Nameless. Kadangkala, dia menggigit tuala yang digunakan untuk menutupi kepala bila membaca babak tegang.

Noah keluar dari bilik untuk ke tandas. Dia sudah biasa terbangun malam untuk solat Tahajud. Pesanan ibunya agar sentiasa mengingati Allah tak kira berada di mana, tersemat dalam hati. Baru mahu ke dapur, dia terlihatkan kelibat Yasmin yang masih duduk di ruang tamu. “Masih berjaga.”

“Awak pun masih belum tidur.” Yasmin membetulkan duduknya. Tidak mahu dikatakan tidak beradab bila meletakkan kaki di atas kerusi.

“Dahaga.” Noah mengukir senyum kecil. Baginya, tidak ada kepentingan untuk dia berterus terang dengan Yasmin tentang aktivitinya.

Yasmin mengangguk kecil seraya kembali menyambung bacaannya.

A Night to Remember! Buku dark-thriller. Tak takut ke?” tegur Noah. Matanya sempat mengerling ke arah sampul depan buku yang dibaca Yasmin.

Entah bila Noah datang mendekat, Yasmin tidak pasti. Dia segera menjenguk muka depan bukunya. “Kenapa nak kena takut?” soalnya lantas memandang wajah Noah. “Sebab manusia bertopeng pegang pisau ni?”

“Entah. Mungkin kerana perempuan seorang yang takut hantu?” balas Noah.

Yasmin tersenyum kecil. Geli hati mendengar telahan Noah. “Awak percaya hantu tu wujud?”

“Percaya. Hantu wujud dalam dunia yang sama dengan kita tapi dalam dimensi yang berbeza. Selagi kita tak kacau mereka, mereka takkan kacau kita,” luah Noah.

Yasmin memicingkan mata. Kata-kata itu sama seperti yang diucapkan oleh salah satu watak dalam novel yang dibacanya itu. “Jadi, ada awak nampak saya kacau hantu tu semua?”

Dahi Noah berkerut seribu. “Maksud awak?”

“Saya tak kacau hantu tu, kenapa mereka nak kacau saya?” soal Yasmin. “Saya percaya buku ni bukan buku yang menceritakan tentang hantu. Penulis sengaja nak buat kita anggap buku ini buku seram. Sedangkan hanya ada misteri yang membuatkan buku ni seram.”

Noah memicingkan mata. “Awak dah baca sampai mana?”

“Bab 20,” sambung Yasmin. “Kenapa?”

“Awak tak rasa awak terlalu awal membuat kesimpulan?” duga Noah.

Thriller dan misteri bukan makanan saya,” ujar Yasmin, selamba. “Tapi buku ni buatkan saya berfikir. Saya tak suka dark-thriller. Kalau romance-thriller saya okey lagi.”

Noah tersenyum nipis. “Tak minat tapi awak baca buku ni. Buku ini salah satu contoh untuk dark-thriller.”

Yasmin menutup buku yang dibaca. Pandangannya ditumpukan tepat ke arah Noah. “Kalau saya tak baca buku ni, macam mana saya nak tahu buku ini bagus? Ulasan orang lain mengatakan buku ni menarik dan berbaloi untuk dibaca. Jadi, saya kenalah baca untuk tahu betul tak pandangan orang lain, kan? Boleh jadi saya akan suka buku ini, dan boleh jadi saya takkan suka buku ini. Tidak adil untuk saya membuat kenyataan buku ini tidak menarik atau menarik, jika saya tak baca buku ni, kan?”

Noah tersenyum mendengar ujaran Yasmin. Kata-kata Yasmin membuatkan hatinya terasa sesuatu. “Walaupun ada babak ngeri, awak masih akan baca? Awak tak takut?”

“Kalau aku penakut, aku tak duduk seorang diri dekat sini,” perli Yasmin dalam bahasa Melayu. Pada mulanya, dia memang tidak takut namun setelah membaca buku tersebut, dia mula rasa seram sejuk. Bulu romanya menegak tatkala dia membaca setiap baris ayat yang ada.

“Awak kata awak dahaga. Pergilah ke dapur, minum. Saya nak habiskan bacaan saya ni.” Yasmin menghalau Noah. Dia tidak selesa bila jejaka itu berada di sisinya. Dia tidak mahu Noah tahu dia takut.

Senyuman terukir di bibir Noah. Mahu atau tidak, dia bergerak ke dapur. “Jangan tidur lewat sangat. Esok pagi kita kena ke rumah pengantin perempuan untuk akad nikah Megat.”

Yasmin mengangguk laju. Matanya masih tertancap pada bait-bait dalam buku Nameless.

Noah mengulum senyuman. Dia terasa seperti mahu mengusik Yasmin.

Noah menarik sehelai tisu dari kotak tisu. Tisu itu digumpal sehingga berbentuk seperti bola. Setelah berada agar jauh daripada gadis itu, dia membaling gumpalan tisu itu ke arah Yasmin.

Yasmin terperanjat. Tubuhnya terloncat sedikit. Matanya mencari arah balingan tersebut. Melihatkan kelibat Noah yang berlalu pergi, dia yakin jejaka itu yang membaling gumpalan tisu tadi. Dia mengecilkan mata. Geram bila lelaki itu mengusiknya seperti itu.

RUMAH ITU riuh dengan suara Mak Su Timah. Kelam-kabut semua orang dibuatnya. Sekejap suara Mak Su Timah menyuruh Alysa mengambil dulang, sekejap kedengaran suara itu memanggil Yasmin yang masih belum keluar dari bilik. Pak Su Shuib pula sudah siap menunggu di halaman bawah. Sementara sepupu-sepupu mereka yang lain sudah menanti bersama dulang.

Beb, kau buat apa lagi tu? Cepatlah!” laung Alysa. Dia memegang dulang berisi sirih junjung dengan berhati-hati. Sengaja ibunya menyuruh dia yang membawa dulang itu. Memandangkan dia adalah adik kepada Megat.

Yasmin bergegas keluar dari bilik. Sedari tadi, dia mencari jam tangannya tetapi tidak berjumpa. Baru melangkah keluar, dia terlanggar Noah. Yasmin hilang imbangan.

Noah kaget. Tangannya laju merangkul pinggang Yasmin daripada jatuh terbaring. Tindakan itu menyebabkan Yasmin terdorong untuk mendakap tubuhnya. Masing-masing tergamam dengan apa yang berlaku.

“Yang nak kahwin tu abang. Pengantin pun dah ada dekat bawah. Yang kau orang berdua buat drama depan aku ni kenapa?” perli Alysa. Kembang kuncup hidungnya menahan geram. Sudahlah tidak pasal-pasal dia yang kena membawa sirih junjung. Yasmin pula tidak mahu menggantikan tempatnya walaupun dia sudah berkali-kali merayu.

Mak Su Timah menggeleng kepala melihat Alysa dan Yasmin. Bila melihat Yasmin dalam dakapan Noah, anak mata Mak Su Timah semakin membesar.

Yasmin cepat-cepat menolak tubuh Noah. Dia tidak selesa berkeadaan begitu.

“Maaf!” ujar Noah. Dia turut membetulkan baju Melayu yang dipakai.

Yasmin tidak membalas. Dia terus melangkah turun. Mukanya sudah terlalu merah menahan malu. Entah bagaimanalah dia boleh terjatuh dalam pelukan lelaki itu. Lelaki itu sepatutnya biarkan sahaja dia jatuh. Dia lebih rela jatuh terbaring daripada terjatuh dalam dakapan lelaki itu.

Dahi Noah berkerut seribu. Langkahnya dipanjangkan untuk mengikuti langkah Yasmin.

“Kau orang memang pelan nak pakai baju sedondon ke?” soal Megat. Dia sudah bersedia untuk naik kereta. Hari ini, bapanya, Pak Su Shuib yang akan memandu ke rumah pengantin perempuan. Dia terlalu gemuruh untuk berbuat apa-apa.

Yasmin mengerut dahi. Matanya mengerling ke arah Noah. Jejaka Korea Selatan itu kelihatan segak memakai baju Melayu berwarna biru. Warna kulitnya yang cerah menaikkan lagi seri wajah jejaka itu.

Yasmin memandang pula baju kurung yang menjadi pilihannya. Dia melepaskan keluhan kecil. ‘Biru! Patutlah Abang Megat tegur macam tu.’

Beb, kau naik kereta Noah tau. Aku naik kereta mak long. Jumpa sana,” pesan Alysa. Dia melangkah laju ke arah kereta mak long.

Yasmin mengerut dahi. Dia tiada pilihan. Dia tidak akan sama sekali menaiki kereta mak long. Kereta Megat pula sudah penuh. Kereta Noah sahajalah pilihan yang ada.

Dia memandang kosong kereta Honda Civic hitam di hadapannya. Dia yakin ini kereta yang nyaris menyebabkan mereka berlanggaran di ruangan parkir Wisma Berjaya tempoh hari. Sebelum ini, dia ada cuba bertanyakan kepada Alysa tetapi Alysa enggan menjawab. “Kereta awak?”

Noah tersenyum nipis. Dia menuju ke pintu bahagian pemandu. “Jom.”

Yasmin masih tidak bergerak. Berkira-kira untuk naik kereta itu. Mindanya penuh dengan pelbagai andaian.

“Kenapa tak naik? Nak saya bukakan pintu?” soal Noah, separa memerli. Dia tidak jadi masuk ke dalam kereta.

“Saya boleh buka pintu kereta sendiri,” tegah Yasmin. Dia membuka pintu kereta untuk masuk.

Dalam kereta, Yasmin lebih banyak diam. Dia mahu bertanya tetapi dia tidak tahu bagaimana mahu memulakan soalannya. Takkanlah dia nak serkap jarang. Boleh jadi dia tersalah ingat nombor plat kereta Honda Civic hitam itu, tapi kesan calar tu!

Noah menghidupkan enjin kereta. Dia memusingkan stereng, mengekori kereta Megat yang berada di hadapan.

“Apa yang awak fikir?”

“Huh?” Pandangan Yasmin terkalih mendengar soalan Noah. Dia menoleh ke arah Noah. Pandangan Noah masih tertumpu di hadapan.

“Awak sedang fikirkan sesuatu, kan? Apa dia?” sambung Noah.

“Mana ada saya fikir apa-apa.” Yasmin enggan membalas. Dia kembali memandang ke hadapan.

“Lebih baik tanya daripada tiba-tiba merungut dalam bahasa asing,” tegur Noah. Dia perasan, Yasmin suka merungut menggunakan bahasa Melayu di hadapannya.

Yasmin mengeluh. “Masalahnya tak ada benda nak tanya. Nak tanya takut dituduh perasan.” Pandangannya dibuang ke luar tingkap. Mengenangkan tidak ada gunanya dia mencari tahu tentang pemilik Honda Civic Hitam itu, dia biarkan saja. Bukannya pemilik kereta itu melakukan sebarang kesalahan terhadap dirinya. Emosinya sahaja yang marahkan tindakan pemandu itu.

NOAH MEMARKIRKAN keretanya di satu ruangan kosong tidak jauh dari rumah pengantin perempuan. Setelah berpuas hati dengan keadaan keretanya, dia dan Yasmin menuju ke arah Alysa. Mereka perlu berkumpul sebelum sama-sama berarak ke rumah pengantin perempuan.

Mata Yasmin jatuh kepada seorang wanita yang berusia lewat 50-an. Wanita itu mengipas-ngipas mukanya menggunakan kipas lipat. Mulutnya mengomel menunggu kehadiran Megat. Pak Su Shuib sedang mencari tempat parkir untuk meletakkan keretanya.

Wanita itu perasan Yasmin sedang memandangnya lantas dia membalas pandangan Yasmin dengan jelingan. Tubuhnya dipalingkan daripada menghadap Yasmin.

Alysa memegang erat tangan Yasmin. Dia tahu Yasmin terasa dengan tindakan mak longnya.

Perilaku mereka dipandang Noah dari jauh. Tangannya tidak lekang dengan kamera.

Selang beberapa saat, kelibat Pak Su Shuib, Mak Su Timah dan Megat kelihatan. Saudara-mara Alysa mula bangkit dan berkumpul. Masing-masing sudah bersedia untuk berarak memasuki rumah pengantin perempuan. Kehadiran mereka disambut dengan senyuman keluarga pengantin perempuan.

Mak Su Timah mengarahkan Alysa dan sepupunya untuk menyusun dulang hantaran yang mereka bawa di tengah ruang tamu. Setelah itu, mereka mula mengambil tempat. Majlis akad nikah akan berlangsung sedikit masa lagi.

Pengantin perempuan dipanggil keluar untuk duduk di atas pelamin kecil. Semua yang hadir saling berbisik-bisik, memuji kecantikan pengantin perempuan.

Yasmin berdiri di tepi pintu. Dari jauh, dia mengagumi kecantikan Edora, calon pilihan Megat untuk dijadikan isteri. Edora merupakan kakak senior Yasmin semasa dia menuntut di St Davis High School.

Edora sebaya dengan Megat. Gadis itu memang sudah lama meminati Megat cuma cintanya seringkali ditolak Megat. Siapa sangka, jodoh mereka bertemu di jinjang pelamin selepas sama-sama melanjutkan pelajaran ke SNU.

Hati Yasmin bagaikan disiat-siat. Tatkala tok kadi mengambil tempat di hadapan Megat, jiwanya berdebar hebat. Bila-bila masa dari sekarang, Megat bakal menjadi suami seseorang. Dan dia, harus melupakan jejaka itu. Jejaka yang pernah bertakhta dalam hatinya.

“Kenapa tak duduk?” soal Noah. Tangannya sudah bersedia dengan kamera. Walaupun pengantin perempuan sudah menempah jurugambar mereka sendiri, dia tetap ingin mematerikan majlis itu.

Yasmin enggan membalas. Dia bergegas keluar dari rumah. Dia mahu berada jauh dari tempat itu. Dia ingat dia kuat, bila dia pulang untuk menghadiri perkahwinan Megat, namun dia silap.

Yasmin terasa tekaknya kering. Dia ke meja bufet untuk membasahkan tekaknya.

“Eh, itu bukan Yasmin si cermin mata bulat ke?” Kedengaran beberapa suara bercakap di belakang Yasmin. Seperti Yasmin, mereka datang ke bufet untuk menjamah hidangan minuman pagi.

Yasmin melepaskan keluhan kecil. Dia dapat mengagak siapakah gerangan si penutur. Hanya pelajar di St Davis High School sahaja yang suka memanggilnya dengan gelaran itu.

Yasmin buat-buat tidak dengar. Dia mencapai gelas untuk minum.

“Yasmin, kan?” Terjengul muka seorang gadis berambut panjang separas bahu di hadapan Yasmin.

Yasmin tersenyum nipis. Dia ingat gadis itu. Elyana! Salah seorang gadis yang suka membulinya dengan menyebarkan fitnah ketika mereka masih menuntut di St Davis High School.

“Kau apa khabar sekarang? Lama tak dengar cerita kau. Kau tinggal kat mana? Masih tinggal dengan Datuk kaya tu?” Gadis bernama Elyana itu menyoal Yasmin bertubi-tubi.

Yasmin menghela nafas dalam. Dia tidak berminat untuk melayan soalan gadis itu. Melihat muka Elyana saja sudah membuatkan amarahnya meluap. Gadis itulah punca dia selalu melarikan diri ke kelas kosong berhadapan padang.

“Sombong kau. Lepas pergi KL, terus buat-buat tak kenal kita orang ni,” provokasi Elyana.

“El, kenapa kau terhegeh-hegeh sangat nak berborak dengan budak KL ni? Dia bukannya kenal kita yang biasa-biasa ni. Orang kaya, kan?” Natasya, kawan si gadis segera menarik tangan Elyana. “Kita ni tak setaraf dengan dia.”

“Tapi aku nak setaraf dengan dia. Macam mana aku nak jadi setaraf macam dia?” rengek Elyana, suaranya sengaja ditinggikan. Ekor matanya memandang reaksi Yasmin.

Yasmin menggenggam kuat gelas yang berisi air itu. Mujurlah gelas itu diperbuat daripada kaca. Kalau daripada kertas, pasti gelas itu sudah renyuk akibat geram.

“Senang aje.” Natasya memetik jari. “Kau jual diri kau…”

Pang! Gelas yang berada dalam tangan Yasmin jatuh mencium lantai.

Semua orang yang berada di khemah itu mengalihkan pandangan mereka ke arah Yasmin. Tidak kurang, kelibat seorang lelaki memakai baju nikah berlari ke arahnya.

Riak kedua-dua gadis itu berubah pucat.

KOMEN AND PENDAPAT PEMBACA 👇