peringatan

semua hasil penulisan di blog iamhananorisa.com adalah hak milik penulis kecuali dinyatakan sebaliknya.

semua karya iamhananorisa.com yang dipaparkan di blog ini adalah hak milik sepenuhnya Hana Norisa dan syarikat penerbitan. Karya-karya ini dilindungi di bawah Akta Hak Cipta Malaysia.

Hana Norisa dan syarikat penerbitan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang cuba plagiat/copy paste/yang seumpama dengannya.


pihak iamhananorisa.com sentiasa berusaha untuk menghormati hak milik dan hak cipta orang lain, ini termasuk bahan-bahan seperti artikel, gambar, muzik, video atau bahan-bahan lain yang digunakan dalam artikel-artikel atau bahagian dalam laman ini. Sekiranya terdapat sebarang masalah atau pertanyaan mengenai perkara ini, pihak anda boleh hubungi iamhananorisa.com.

[MY BOOK] BAB 9 PASTI ADA KAMU

Blog post description.

PASTI ADA KAMU

Hana Norisa

7 min read

SUASANA di ruang tamu kediaman Mak Su Timah kelihatan tegang. Masing-masing diam mendengar hamburan mak long. Wanita itu terus mampir ke situ sebaik sahaja majlis kenduri di pihak perempuan berakhir. Tambahan pula, mereka mahu membuat persiapan akhir sebelum majlis menyambut menantu esok.

Pihak perancang majlis perkahwinan masih melakukan pemeriksaan. Pelamin diperiksa agar berada dalam keadaan baik. Suasana malam juga tidak menunjukkan tanda-tanda hujan.

“Malulah dekat orang. Pegang gelas pun tak kuat.” Kedengaran mak long meluahkan rasa hatinya. Matanya menjeling Yasmin yang berada di belakang Mak Su Timah.

“Nak kata tak makan, elok aje kau bagi dia makan, kan?” Mak long tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku di rumah Edora lewat tengah hari tadi. “Habis semua orang pandang. Megat yang baru nak akad tu pun meluru keluar.”

“Dahlah tu, long. Benda dah jadi, kan? Bukannya Min sengaja nak pecahkan gelas tu.” Mak Su Timah membela Yasmin. Dia tahu kata-kata kakaknya itu melukakan hati Yasmin.

Yasmin masih bersembunyi di sebalik tubuh Mak Su Timah. Dia tahu dia salah kerana menjatuhkan gelas itu tetapi dia terpaksa. Dia tidak suka diasak dengan memori masa silam. Cuma, dia tidak sangka yang Megat akan keluar ketika kejadian itu berlaku.

“Malulah dengan drama entah apa-apa tu. Belum lagi drama dia dengan mamat Korea tu,” ungkit mak long.

“Drama apa pula ni?” soal Mak Su Timah. Sebolehnya, dia tidak mahu kakaknya itu mengungkit. Lebih-lebih lagi bila ada orang luar di sekitar rumah mereka. Dia tidak mahu ada yang menjadi penyampai. Megat dan Edora baru sahaja selesai akad nikah. Dia risau perkahwinan kedua-dua mempelai berantakan kerana berita tidak berasas seperti itu.

“Kau ingat aku tak tahu yang budak tu berpeluk dengan mamat Korea tu pagi tadi?” duga mak long. Matanya menjegil ke arah Yasmin yang tertunduk.

Mak Su Timah mengerutkan dahinya. “Lah, pasal tu ke? Bukan sengaja tu. Yasmin tergesa-gesa keluar bilik. Kebetulan, Noah lalu. Nasib baiklah Noah tu sambut Min. Kalau tak, jatuh budak ni. Satu hal lagi nanti.” Sempat matanya mengerling ke arah Siti, anak perempuan mak long. Dia yakin pasti Siti yang menceritakan hal itu kepada ibunya.

“Tak kisahlah. Kalau dah maknya…”

Yasmin tidak betah duduk. Dia bangkit dan berlari anak turun dari serambi rumah. Kalau dia duduk lama di situ, berdesing telinganya mendengar umpatan mak long.

ALYSA MELANGKAH perlahan menghampiri Yasmin. Yasmin dilihat sedang termenung di pangkin rumah. Dia tahu Yasmin terasa hati dengan kata-kata ibu saudaranya yang agak celopar.

“Aku minta maaf bagi pihak mak long.” Suara Alysa membuatkan Yasmin tersentak. Yasmin mengalihkan pandangannya ke arah Alysa.

“Kau tak buat salah. Yang salah tu mak long.” Suara Yasmin kedengaran serak.

“Kau menangis?” soal Alysa. Kegelapan malam menghalang Alysa daripada melihat wajah Yasmin.

“Aku terasa dengan kata-kata mak long,” sambung Yasmin. “Kalau bukan sebab mulut dia tu, mungkin apa yang terjadi hari ni, takkan terjadi.”

Alysa mengerutkan dahinya. “Apa perkara yang terjadi hari ni, takkan terjadi tu?”

Yasmin menggeleng kepala. Dia tidak jadi meneruskan kata-katanya. Tiada siapa yang perlu tahu, kerana mak long, dia terpaksa melupakan perasaannya terhadap Megat. “Mulut dia memang tak boleh ditapis. Kadang tu, aku rasa macam nak jahit aje mulut dia.”

Alysa ketawa besar. Bahu Yasmin ditepuk lembut. “Kalau boleh jahit mulut dia, aku dah jahit dulu.”

Yasmin tersenyum. “Sebab mulut dia, orang kampung bercakap pasal mama dan aku. Orang kata mama aku jual diri dekat Datuk. Sanggup ikut Datuk walaupun tak tahu status bapa aku masih hidup atau dah meninggal dunia. Kau rasa mana aku nak letak muka?”

Alysa menepuk lembut bahu Yasmin. Dia tahu kerana dia berada dengan Yasmin ketika mak long menuduh Puan Maria dan Yasmin.

“Aku sangka lepas lima belas tahun tak balik, orang lain dah lupa semua benda ni. Tiba-tiba, datang pula mangkuk dua orang tu,” luah Yasmin, tidak berlapis. Geram bila mengingatkan kejadian pagi tadi.

Alysa tersentak lantas ketawa.

“Aku tengah luahkan perasaan aku, kau boleh gelak?” Yasmin mendengus.

Alysa berhenti ketawa. “Aku gelak sebab kau panggil dumb and dumber tu mangkuk. Jarang aku nak dengar Cik Yasmin kita ni mengutuk orang kecuali masa dia tengah marah staf dia.”

Yasmin mencebik.

“Apa yang mereka ungkit sampai kau terlepas gelas tu?” soal Alysa, ingin tahu. Kerana kejadian itu, keadaan di kenduri itu menjadi tegang. Bunyi gelas terjatuh membuatkan pengantin lelaki meninggalkan majlis akad nikah.

Yasmin tersengih. Dia tidak terasa mahu menceritakan hal itu kepada Alysa. Biarlah hanya dia sahaja yang tahu sebabnya.

“Abang pun satulah. Kenapalah dia boleh berlari keluar macam tu? Tengah nak akad kut.” Alysa menggeleng kecil mengenangkan peristiwa itu. Sengaja dia menukar topik perbualan. Dia tidak mahu menggesa Yasmin bercerita.

YASMIN MASIH duduk di pangkin. Walaupun langit malam sudah bertukar pekat, dia rela duduk dalam kegelapan. Selagi wanita bergelar mak long itu belum pulang, selagi itu dia akan duduk di situ. Matanya memandang tajam ke dalam rumah. Mahu pandang ke langit, langit gelap. Bulan pula tidak menampakkan cahayanya.

Klik! Bunyi ketikan kamera menarik perhatian Yasmin. Cahaya lampu dari kamera mengalihkan pandangannya ke sebelah kiri. Kelihatan Noah sedang membidik kameranya ke arah serambi rumah Mak Su Timah.

“Apa yang awak tengah buat?” soal Yasmin, berbahasa Korea. Dia pelik dengan tindakan Noah.

“Tangkap gambar kenangan. Sebab esok saya dah nak balik. Tak tahu bila lagi akan ke sini,” luah Noah. Dia membelek gambar yang ditangkap menerusi kameranya. “Nak tengok?”

Yasmin mengangguk. Dia memanjangkan lehernya untuk melihat gambar dalam kamera Noah.

“Cantik,” puji Yasmin. “Pandai awak tangkap gambar.”

“Pandai awak cakap bahasa Korea. Kalau orang tak nampak awak, dengar suara awak aje, mereka boleh keliru sama ada awak orang Korea Selatan asli atau tak.” Giliran Noah memuji Yasmin.

Pertama kali dia mendengar Yasmin bertutur dalam bahasa Korea, dia kagum. Disebabkan malam ini adalah malam terakhir mereka di situ, dia memberanikan diri memuji gadis itu.

Noah menarik semula kamera miliknya. Butang view ditekan untuk melihat hasil tangkapan gambar yang lain.

“Apa gunanya pandai kalau tak dihargai,” ujar Yasmin dalam bahasa Melayu. Jiwanya terasa berat mendengar pujian Noah.

Noah menaikkan pandangan. Dia tidak jadi menilik hasil tangkapannya. Dia perasan, Yasmin lebih suka meluahkan isi hatinya dalam bahasa Melayu.

“Kalaulah awak tahu usaha saya untuk belajar bahasa Korea ni, awak mesti panggil saya bodoh.” Yasmin terus bertutur dalam bahasa Melayu. Dia tidak menghiraukan reaksi Noah. Mungkin inilah peluangnya untuk dia meluahkan perasaan kepada seseorang tanpa seseorang itu menilai dirinya. Menilai betapa jahatnya perasaan dia ketika itu.

Noah masih diam. Dia tidak mahu menyampuk. Mungkin Yasmin mahu meluahkan sesuatu. Sesuatu yang lebih mudah untuk diluahkan kepada seseorang dalam bahasa yang berbeza.

“Tahu tak kenapa saya pandai cakap bahasa Korea?” soal Yasmin. Matanya memandang Noah tanpa berkelip. “Sebab saya nak ikut Abang Megat. Kami dah janji nak melanjutkan pelajaran di SNU sama-sama.”

Noah mengalihkan pandangannya. Dia tidak mahu Yasmin mengesyaki yang dia memahami kata-kata Yasmin.

‘SNU? Seoul National University?’ Noah menebak maksud SNU dalam hati.

“Betul. Seoul National University,” tegas Yasmin bagai mengiakan persoalan Noah. Dia melemparkan pandangannya ke dalam rumah Mak Su Timah.

Mata Noah terbeliak. Gadis itu dapat membaca hatinya? Kerana gadis itu terus mengesahkan persoalannya sebentar tadi.

“Sepatutnya saya ke sana, belajar sama-sama dengan Abang Megat. Kalau perkara ni terjadi, mungkin kita akan jadi kawan.” Yasmin berjeda.

“Nampak tak perempuan tu?” soal Yasmin. Sepasang mata kecilnya dikecilkan. Kalaulah dia ada kuasa magis untuk menukarkan wanita itu ke bentuk haiwan, pasti dia sudah lakukannya.

“Sebab perempuan itulah semua perkara terjadi hari ni. Dia memang sengaja nak buatkan saya jatuh tersungkur. Dia bukannya tak tahu yang saya sukakan anak buah dia tapi apa yang dia buat? Dia jodohkan anak buah dia dengan Edora!”

Dahi Noah berkerut seribu. Luahan hati Yasmin membuatkan dia terfikir sesuatu. Apakah mungkin Yasmin menyukai Megat? Jika benar sangkaannya, Megat dan Yasmin saling mencintai.

“Sebab fitnah yang dilemparkan perempuan itu, mama kecil hati dan ajak kami ke KL. Disebabkan hal itu, menguatkan lagi fitnah yang dia lemparkan. Sudahnya, saya kena lupakan perasaan saya dekat Abang Megat.”

“Mana mungkin seorang lelaki daripada keturunan elok-elok mahu berdampingan dengan anak kepada orang yang dikatakan menjual diri. Ibu menjual diri, bapa menghilangkan diri. Kombinasi yang sempurna. Kerana itu, kami tak setaraf. Tak sekufu!” Giginya diketap kuat. Dendamnya kepada mak long masih bersisa. Dia mahu mak long rasa malu seumur hidup.

Sepanjang dua hari dia tinggal di rumah itu, pelbagai rencana bermain dalam mindanya. “Nak tahu tak... saya memang ada pelan nak buat onar masa kenduri tadi.”

“Tapi layanan mak su kepada saya... saya tak sampai hati.” Setitis air mata menitis di paha Yasmin. “Mak su banyak berjasa kepada keluarga saya. Saya tak nak jadi orang yang tak mengenang budi. Mujurlah gelas tu terjatuh. Pecah. Kalau tak, mungkin saya dah teruskan niat saya.”

Noah mencuri pandang wajah Yasmin. Di sebalik biasan cahaya lampu dari rumah Mak Su Timah, dia nampak dengan jelas kekecewaan yang dialami Yasmin. Entah kenapa, bibirnya laju menggumam sebuah lagu.

Yasmin berhenti bercerita. Serta-merta, dia mengukir senyuman. Tanpa memahami bahasa yang dituturkan, lelaki itu masih berada di sisinya.

“Lagu tu... saya rasa saya pernah dengar sebelum ni,” ujar Yasmin. Pandangannya beralih ke arah Noah.

Project Epitone… first love,” balas Noah tanpa dipinta. Kisah Yasmin saling tak tumpah dengan klip video lagu dari kumpulan tersebut.

Yasmin mengangguk kecil. Dia pernah dengar melodi itu. Alysa gemar memainkan lagu itu ketika mereka masih tinggal bersama.

Beb, hari dah lewat ni. Mama aku panggil masuk. Dia nak bagi kau sesuatu sebelum kau balik esok.” Alysa menjerit dari serambi rumah. Tangannya melambai-lambai mengajak Yasmin naik.

Yasmin memandang ke arah Alysa. Kelihatan mak long sedang turun dan menuju ke kereta. Dia masih diam di situ. Dia cuma akan kembali ke rumah itu bila kelibat mak long hilang daripada pandangannya.

“Abang Noah, mama panggil abang naik juga. Mama nak bagi sesuatu kepada abang,” sambung Alysa.

“Okey. Nanti saya naik,” balas Noah. Dia segera memasukkan kamera ke dalam beg kamera.

Mata Yasmin terbeliak mendengar balasan Noah. Dia memandang Noah tidak berkelip.

Noah memetik jari berkali-kali. Reaksi Yasmin mengundang kerutan di dahi.

“Awak faham bahasa Melayu?” soal Yasmin. Dia perlukan kepastian. Penggunaan bahasa Melayu Noah buatkan jantungnya berdegup kencang. Jika benar Noah faham bahasa Melayu, itu bermakna lelaki itu sudah tahu rahsianya.

Noah mengangguk tegas. Dia mengangkat punggung untuk beredar. Baru beberapa langkah, dia terasa seseorang menarik bajunya. Dia menoleh.

“Apa sahaja yang saya luahkan pada awak tadi, jangan cerita kepada sesiapa. Boleh? Saya rayu dengan awak,” pinta Yasmin. Dia tidak mengharapkan pertemuan seterusnya dengan lelaki itu. Biarpun begitu, dia juga tidak mahu lelaki itu bercerita dengan Megat.

KOMEN AND PENDAPAT PEMBACA 👇