peringatan

semua hasil penulisan di blog iamhananorisa.com adalah hak milik penulis kecuali dinyatakan sebaliknya.

semua karya iamhananorisa.com yang dipaparkan di blog ini adalah hak milik sepenuhnya Hana Norisa dan syarikat penerbitan. Karya-karya ini dilindungi di bawah Akta Hak Cipta Malaysia.

Hana Norisa dan syarikat penerbitan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang cuba plagiat/copy paste/yang seumpama dengannya.


pihak iamhananorisa.com sentiasa berusaha untuk menghormati hak milik dan hak cipta orang lain, ini termasuk bahan-bahan seperti artikel, gambar, muzik, video atau bahan-bahan lain yang digunakan dalam artikel-artikel atau bahagian dalam laman ini. Sekiranya terdapat sebarang masalah atau pertanyaan mengenai perkara ini, pihak anda boleh hubungi iamhananorisa.com.

[REVIEW] #4 My Sweet Aidan Wais (Penulis: Suhaila Rashid)

Blog post description.

REKOMENDASI BUKU

Hana Norisa

5 min read

Sinopsis:
Gara-gara GPS, Aidan Wais tersadai. Kereta rosak, telefon pulak kehabisan bateri. Jadinya, terpaksalah dia ke kampung berdekatan untuk minta bantuan. Di kampung tu, dia kenal dengan Elaina. Dalam diam, Aidan simpan perasaan dekat Elaina tapi dia kena tunggu Elaina habis belajar dulu, baru boleh masuk meminang.

Sepanjang Aidan tunggu Elaina ni, dia langsung tak hubungi Elaina. Dia tak nak pelajaran Elaina ni terganggu, jadi dia serahkan pada takdir. Kalau mereka ditakdirkan berjodoh, bersatulah mereka macam tu.

Selepas mereka disatukan, datang pulak Puan Mayleen. Kehadiran Puan Mayleen ni hampir buatkan rumahtangga mereka berdua ni berantakan jugalah. Takut tengok Aidan yang sweet tu marah. Jadi, persoalannya, Puan Mayleen ni siapa? Dia nak apa dari Aidan?


Pace dan gaya penceritaan.

Novel ini menggunakan gaya penceritaan yang linear dan cerita bergerak ke hadapan. Seperti kebanyakan cerita, di hujung cerita akan ada flashback tentang kenapa perkara yang berlaku dalam novel itu berlaku. Tapi flashback yang berlaku tu terjadi secara teratur. Penulis tak sumbat semuanya dalam satu bab atau babak.


Pace penceritaan normal. Tak terlalu laju dan tak terlalu perlahan. Naratifnya tak banyak, cukup untuk menceritakan apa yang berlaku cuma sepanjang pembacaan, saya tak boleh fokus. Saya pening dan ambil keputusan untuk skip baca naratif. Kenapa? Nanti saya jelaskan di bahagian yang tidak menarik.


Cerita nampak seimbang dari segi idea, watak dan plot tapi plot yang ada tidak berjaya membuatkan saya rasa nak selak halaman seterusnya. Saya baca hanya sebab nak tahu berjaya ke Aidan dan Elaina ni disatukan. Selepas mereka berkahwin, saya macam, okay, mari habiskan sebab dah baca separuh..


Watak:

Watak utama adalah Aidan. Aidan ni seorang doktor dan ada klinik sendiri. Pada masa yang sama, dia kena uruskan perniagaan keluarga dia. Dia gantikan adik dia dan akhirnya, dia tersadai kat kampung Elaina.

Masa di kampung, Aidan tersuka dengan Elaina. Tapi disebabkan Elaina ni masih belajar, dia tangguhkan hasrat. Walaupun dia tak hubungi Elaina, dia masih mengekalkan hubungan baik dengan keluarga Elaina cuma Elaina je yang tak tahu yang dia still contact keluarga Elaina.

Aidan ni kacak. Ramai orang suka dia termasuk kawan baik dia, Nawra. Nawra suka dia tapi dia tak suka Nawra. Jadi, dia cuba elakkan diri dari jumpa Nawra. Yang jadi mangsa kena layan Nawra adalah Irfan, adik Aidan. Bila Aidan kahwin dengan Elaina, menonggenglah si Nawra ni. Mujurlah Elaina tu bukan spesies wanita lurus bendul. Kalau lurus bendul, memang kena baling novel ni.

Dalam novel ni, saya paling suka watak Aidan. Dia seorang lelaki yang sweet dan caring dengan isteri dia. Cara dia ambil berat terhadap Elaina tu nampak yang dia ikhlas sayangkan Elaina. Dia ada masa silam yang menyayat hati. Dugaan yang dia hadapi sejak kecil agak berat. Jadi, tak hairanlah kenapa dia bersikap sedemikian bila jumpa Puan Mayleen.


Yang menarik:

1. Bercinta selepas kahwin itu indah. Sebab kita tak bazirkan hati dan perasaan kita untuk suka pada orang yang salah. Kalau Allah dah takdirkan itu jodoh kita, larilah jauh mana pun, pasti akan bertemu dan bersatu. Kalau sukakan seseorang, dekati walinya dulu. Dapat green light, masuk meminang terus. Senang.


2. Budak-budak ni walaupun masih kecil, otak mereka akan register event yang berlaku dalam hidup dia. Lebih-lebih lagi, bila kata-kata diungkapkan oleh orang yang mereka sayang macam ibu dan bapa mereka. Apa sahaja yang mereka dengar, mereka akan ingat sampai bila-bila terutamanya kata-kata makian. Samalah kesnya dengan Aidan dan kakak dia. Disebabkan kata-kata itu, mereka berdua berdendam dengan Puan Mayleen.


Yang tidak menarik:

1. Plot cerita ni menarik tapi....

Ianya disusun dengan teratur cuma lagi menarik kalau penulis ada suntikkan hint pasal Puan Mayleen tu di awal cerita sebab watak ni cuma muncul lepas mereka kahwin. Jadi, saya rasa macam konflik itu dimasukkan untuk panjangkan cerita sahaja.

Yelah, sebab dari awal cerita, cuma ada kisah macam mana Elaina dan Aidan bertemu dan bertemu semula… langsung takde hint pasal Puan Mayleen. Tiba-tiba, ada Puan Mayleen datang menganggu. Kalau dimasukkan adegan Puan Mayleen sedikit awal, mungkin akan buat pembaca rasa nak tahu siapa Puan Mayleen ni dari awal cerita.

Oh ya, sepanjang penceritaan, saya tak tahu yang Aidan tu ada kacukan cina. Rasanya, penulis langsung tak sebut pasal ni di awal cerita. (*atau penulis memang ada sebut tapi sebab saya skip naratif, saya tak perasan)


2. Perenggan yang bercampur aduk sampai saya tak tahu watak mana yag bercakap.

Contoh;

“Cukup, barang dekat sini semua murahlah akak,” ujar Irsyad. Elaina menghela nafas panjang. Dia sudahlah…. (halaman 9)

Kat perenggan ni, dialog milik Irsyad tapi kenapa ayat penerangan menjelaskan perbuatan Elaina? Sepatutnya, dua ayat ini dipisahkan ke dua perenggan yang berbeza sebab ada dua watak yang berbeza di situ.

Yang sebetulnya:

“Cukup, barang dekat sini semua murahlah akak:” ujar Irsyad.

Elaina menghela nafas panjang. Dia sudahlah…


Contoh:

“Anak teruna siapa kamu bawa balik ni, Laina! Calon anak saudara mak ngah yang baru ke?” Elaina menepuk dahi kuat, hampir dia lupa dengan kehadiran jejaka idaman semua gadis ini. (halaman 17)


Dalam ayat di atas, nampak dengan jelas, dialog itu bukan dialog Elaina tapi dialog mak ngah. Kenapa mak ngah yang bercakap tapi ayat keterangan milik perbuatan Elaina?

Disebabkan perenggan yang bercampur ni, saya skip baca naratif/penerangan. Saya pening. Jujur kata, ceritanya menarik tapi bila perenggan bercampur, saya tak dapat nak tumpuan perhatian.


3. Ada beberapa babak di bab terakhir, mengelirukan saya. Saya tak dapat kenalpasti sama ada timeline sedang bergerak ke hadapan atau sedang berlaku imbas kembali. Disebabkan saya pening dengan susunan perenggan, saya ambil keputusan untuk baca sahaja tanpa menghayati.


4. Ada beberapa bahagian, saya rasa macam ada campur tangan suara penulis. Salah satunya:

Ayat perenggan sebelumnya adalah rungutan Elaina, perenggan seterusnya adalah kata-kata Mak Jah.

”Tak baiklah kau ni Elaina, orang dah buat baik macam ni kau balas (halaman 19) - Penggunaan ayat ni, siapa yang tuturkan?


Saranan:
Novel ini konfliknya ringan. Bagus untuk bacaan santai. Ayat yang digunakan pun ringkas dan senang difahami. Tiada ayat bombastik. Suka baca kisah cinta Elaina dan Aidan, sweet yang tak perlukan adegan 18sx.

Novel ini mengetengahkan genre romantis, slice of life dan sedikit saspen.


Untuk penulis:
Keep up the good work. Walaupun ini karya pertama yang saya baca dari penulis, saya rasa tak rugi membacanya. Susunan plot cantik cuma kena bagi perhatian pada pemerengganan untuk elakkan kekeliruan pembaca. Waiting for your next book. Hwaiting.


Pesanan:

Kalau berminat untuk dapatkan novel ini, boleh dapatkan melalui Penerbitan AHA. Boleh beli di shopee AHA juga. Okay, that’s it. Signing off untuk rekomendasi buku kali ini. Sehingga bertemu lagi, Let's Drop Everything and Start to Read.

KOMEN AND PENDAPAT PEMBACA 👇